PAUTAN
PANTAS

AGENSI KERAJAAN & NEGERI

MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI

POPULAR

PAUTAN POPULAR

MEDIA SOSIAL
Waktu Solat
Kajian Kepuasan Pelanggan MAIS

Hibah

MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR (MAIS)

_

Hibah

Halaman 2 dari 4
RUKUN HIBAH
(i) Pemberi hibah (al-Wahib)
Pemberi hibah hendaklah seorang yang berkeahlian seperti sempurna akal, baligh dan rusyd. Pemberi hibah
mestilah tuan punya barang yang dihibahkan. Oleh kerana pemilik harta mempunyai kuasa penuh ke atas
hartanya, hibah boleh dibuat tanpa had kadar serta kepada sesiapa yang disukainya termasuk kepada orang
bukan Islam, asalkan maksudnya tidak melanggar hukum syarak.

(ii) Penerima hibah (al-Mawhub lahu)
Penerima hibah boleh terdiri daripada sesiapa sahaja asalkan dia mempunyai keupayaan memiliki harta sama
ada mukallaf atau bukan mukallaf. Sekiranya penerima hibah bukan mukallaf seperti masih belum akil baligh
atau kurang upaya, hibah boleh diberikan kepada walinya atau pemegang amanah bagi pihaknya. Penerima
hibah mestilah menerima harta yang dihibahkan dan berkuasa memegangnya. Dengan kata lain, penguasaan
dan kawalan terhadap harta mestilah diberikan kepada penerima hibah.

(iii) Barang atau harta yang dihibahkan (al-Mawhub)
Barang atau harta yang hendak dihibahkan itu perlu memenuhi syarat-syarat iaitu hendaklah barang atau
harta yang halal. Ia hendaklah sejenis barang atau harta mempunyai nilai di sisi syarak. Barang atau harta itu
milik pemberi hibah. Ia boleh diserah milikkan dan benar-benar wujud semasa dihibahkan.

(iv) Sighah iaitu ijab dan kabul
Sighah hibah merupakan lafaz atau perbuatan yang membawa makna pemberian dan penerimaan hibah.
Di antara contoh lafaz ijab secara terang (sarih) ialah seperti kata pemberi “Aku berikan barang ini kepadamu”
atau secara kinayah seperti kata pemberi “Aku telah menyerahkan hakmilik kepadamu” atau “Aku jadikan
barang ini untukmu”. Sementara contoh lafaz qabul (penerimaan) pula ialah seperti “aku terima”, “aku redha”
dan sebagainya.

PENERIMAAN BARANG (AL-QABD) DALAM HIBAH
Istilah al-qabd (penerimaan barang) bermaksud mendapat sesuatu, menguasainya dan boleh melakukan tasarruf terhadap barang atau harta tersebut. Mengikut mazhab Hanbali dan Maliki, penerimaan barang tidak disyaratkan dalam sesuatu hibah, malah memadai dengan akad semata-mata. Ini bererti apabila berlaku kematian salah seorang atau salah satu pihak sama ada pemberi hibah atau penerima hibah sebelum penyerahan barang, maka hibah itu tidak terbatal. Sebaliknya, mengikut Abu Hanifah dan Syafie, penerimaan barang merupakan salah satu dari syarat sah hibah. Oleh itu, apabila berlaku kematian salah satu dari dua pihak sebelum penyerahan barang, maka hibah itu terbatal.

Dalam mazhab Syafie, al-qabd merupakan syarat luzum, ertinya akad hibah tidak sempurna dan tidak berkuat kuasa dengan ijab dan qabul semata-mata, kecuali selepas al-qabd. Sekiranya al-qabd tidak berlaku maka akad hibah merupakan akad yang tidak mengikat. Oleh itu, pemberi hibah berhak menarik balik hibah tersebut selama mana harta berkenaan berada dalam pemilikannya.

Cara penerimaan barang (al-qabd) adalah berbeza-beza mengikut jenis harta sama ada harta tak alih atau harta alih. Bagi harta tak alih, al-qabd boleh berlaku dengan cara mengosongkan harta itu, menguasainya dan melakukan tasarruf terhadap harta tersebut seperti menyerah kunci dan seumpamanya. Manakala bagi harta alih pula, al-qabd boleh berlaku dengan cara mengambil harta itu, memindah atau mengasingkan harta tersebut dengan harta-harta lain.