Khamis, 4 Syawal 1438 / 29 Jun 2017
  • Waktu Solat
     
    Imsak
    5:41
    Subuh
    5:51
    Syuruk
    7:06
    Zuhur
    13:14
    Asar
    16:18
    Maghrib
    19:18
    Isyak
    20:27

Berita

SULTAN SELANGOR BERKENAN TERIMA ZAKAT BERJUMLAH RM27JUTA

SHAH ALAM  2 Jun  -  DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah RM27 juta daripada Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) bagi pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Baginda diiringi oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Zakat berkenaan disampaikan kepada baginda oleh Tan Sri Abdul Wahid Omar dalam majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid An-Nur Temasya, Glenmarie.

Baginda juga turut berkenan merasmikan Masjid An-Nur dan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 80 asnaf fakir, 185 asnaf miskin dan 121 asnaf muallaf dengan kesemuanya menerima sumbangan berjumlah RM500 setiap seorang.

Sementara itu, DYMM Sultan Selangor dalam titah ucapannya berkata, nazir, imam dan ahli jawatankuasa masjid haruslah peka dan mengambil berat terhadap titahnya dan tidak membenarkan masjid dijadikan tempat berpolitik.

Baginda juga turut mengingatkan masjid dan surau perlu digunakan sebagai tempat beribadat serta tempat untuk menuntut ilmu agama, selain tempat untuk mengeratkan silaturahim sesama umat Islam supaya tidak berpecah-belah dan berpuak-puak. 

Turut hadir mengiringi dalam majlis ini ialah ialah Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Pengerusi MAIS, YAD. Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib bin Mohd Isa dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim.