Rabu, 24 Rabiulawal 1439 / 14 Disember 2017
  • Waktu Solat
     
    Imsak
    5:41
    Subuh
    5:51
    Syuruk
    7:06
    Zuhur
    13:14
    Asar
    16:18
    Maghrib
    19:18
    Isyak
    20:27

Berita

MAIS LAWAT PELAJAR-PELAJAR MESIR DAN JORDAN

MESIR 29 Oktober  -  Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) diketuai oleh Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib bin Mohd Isa, Pengerusi MAIS bersama Dato’ Haji Bakhtiar bin Hussin, Setiausaha MAIS telah melawat pelajar-pelajar tajaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang mengikuti pengajian di Mesir dan Jordan baru-baru ini. Turut serta dalam lawatan rasmi itu adalah  YBhg. CP (B) Dato’ Pahlawan Mohd Shukri bin Dahlan, Ahli MAIS dan Tuan Haji Ahmad Apandi bin Samsudin, Pengarah Pengurusan Korporat.

Lawatan selama 6 hari bermula pada 24 Oktober sehingga 29 Oktober yang lalu merupakan agenda berkala oleh MAIS bertujuan mengadakan pamantauan kepada pelajar-pelajar terutama pelajar Selangor yang mengikuti pengajian di Mesir dan Jordan di samping untuk menjaga kebajikan pelajar-pelajar yang menjadi nadi utama bagi lawatan rasmi ini. 

Dalam pada itu, Pengerusi MAIS dalam ucapannya pada Majlis Ramah Mesra MAIS bersama pelajar Mesir dan Jordan berkata, Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah memperuntukkan  RM74,200.00 bagi Program Pembangunan dan Kecemerlangan Pelajar (PPKP) yang mana penerima manfaatnya adalah pelajar daripada Selangor yang ditaja oleh LZS atau bukan dermasiswa.

LZS juga telah meluluskan Bantuan Kos Rawatan Perubatan sebanyak RM151,000.00 setahun kepada pelajar yang menerima Dermasiswa Zakat Luar Negara yang masih dalam tempoh tajaan dengan kadar bantuan kos rawatan sebanyak RM500.00 seorang bagi setiap tahun sehingga tamat pengajian.

‘’Diharap dengan bantuan yang diberikan dapat meringankan beban kewangan yang dihadapi pelajar terutama dalam mendapatkan tambahan ilmu untuk lebih cemerlang di dalam peperiksaan,” katanya.

Pengerusi MAIS juga mengingatkan kepada pelajar-pelajar agar sentiasa menitik beratkan aspek keselamatan diri memandangkan tinggal di bumi asing yang besar cabarannya serta perlu sentiasa peka dengan persekitaran dan sentiasa mengekalkan akidah Islam Ahli Sunah Wal-Jamaah.

Sehingga kini, sejumlah 351 orang pelajar yang sedang menuntut di luar Malaysia sedang disantuni melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS). Daripada jumlah itu, seramai 138 orang pelajar mengikuti pengajian di Mesir (94 pelajar bidang pengajian Islam & 44 pelajar bidang perubatan), manakala 183 pelajar mengikuti pengajian Pendidikan Islam di Jordan, 11 orang pelajar mengikuti Pengajian Bahasa Arab di Morocco dan 19 orang pelajar mengikuti pengajian perubatan di Indonesia. Daripada jumlah berkenaan,seramai  30 orang pelajar di kalangan anak-anak asnaf fakir dan miskin LZS.