Rabu, 24 Rabiulawal 1439 / 14 Disember 2017
  • Waktu Solat
     
    Imsak
    5:41
    Subuh
    5:51
    Syuruk
    7:06
    Zuhur
    13:14
    Asar
    16:18
    Maghrib
    19:18
    Isyak
    20:27

Berita

72 BADAN PERTUBUHAN ISLAM BUKAN KERAJAAN (NGO-I) TERIMA SUMBANGAN DANA MAIS

SHAH ALAM  15 November  –  Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menyerahkan sumbangan dana kepada 72 badan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i) yang berdaftar di bawah MAIS. Semua NGO-i menerima sumbangan dana antara RM10,000 sehingga RM20,000 menerusi aktiviti dakwah yang dijalankan.

Bantuan kepada NGO-i ini merupakan sumbangan dana bagi tahun 2017 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM910,000.00 bertujuan memperkasa dakwah Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i) dan membangunkan sahsiah umat Islam.

Sumbangan yang menggunakan peruntukan Asnaf Fisabilillah Lembaga Zakat Selangor (LZS) ini disampaikan oleh YAD Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib bin Mohd Isa, Pengerusi MAIS dengan diiringi oleh YDH. SP (B) Dato’ Pahlawan Mohd Shukri bin Dahlan, Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i) di Majlis Persidangan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i) Negeri Selangor 2017 yang diadakan di Hotel Concorde.

Antara NGO-i yang menerima sumbangan adalah Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan PEPIAS (RM10,000), Persatuan Sukarelawan Islam Hospital Selangor SAHABAT (RM15,000), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia Negeri Selangor  PEMADAM (RM15,000) dan Persatuan Ulamak Malaysia Cawangan Selangor (RM20,000).

Pada majlis yang sama, MAIS turut menyampaikan sumbangan Geran Sukuan Ke-4 kepada Rumah Perlindungan Al-Riqab (RPA) sebanyak RM914,180.00 kepada 16 buah rumah RPA dan sumbangan Geran Tahunan Rumah Kebajikan Perlindungan Anak Yatim sebanyak RM315,000.00 kepada 8 buah rumah anak yatim. Sumbangan ini menggunakan peruntukan Asnaf  Al-Riqab dan Asnaf Fisabilillah LZS.

MAIS juga turut memberi sumbangan Bantuan Dana Rumah Kebajikan sebanyak RM120,000.00 kepada 5 buah rumah kebajikan khusus untuk warga emas. Jumlah keseluruhan sumbangan yang diberi oleh MAIS dengan menggunakan peruntukan Asnaf Lembaga Zakat Selangor  bagi tahun 2017 adalah sebanyak RM2,259,180.00.