Ahad, 4 Jamadilawal 1439 / 22 Januari 2018
  • Waktu Solat
     
    Imsak
    5:41
    Subuh
    5:51
    Syuruk
    7:06
    Zuhur
    13:14
    Asar
    16:18
    Maghrib
    19:18
    Isyak
    20:27

Berita

105 ORANG PELATIH RUMAH PERLINDUNGAN AL-RIQAB SERTAI MAJLIS IHTIFAL PERDANA 2017

SABAK BERNAM 7 Disember   –  Seramai 105 orang peserta di kalangan pelatih Rumah Perlindungan Al-Riqab (RPA) telah menyertai Majlis Ihtifal Perdana Tahun 2017 yang diadakan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan bagi memberi peluang kepada mereka untuk mengasah bakat dan memupuk minat dalam acara-acara keagamaan dan aktiviti sosial yang sihat.

Dalam program anjuran Bahagian Pemulihan Al-Riqab MAIS, pelatih terbabit turut menyertai acara yang dipertandingkan antaranya ialah Nasyid, Sajak, Kuiz Agama, Sajian Peti Misteri, Jahitan Hiasan Manik dan Sukan Sunah Memanah.

Pada tahun ini, sebanyak lima buah rumah perlindungan al-riqab menyertai program ini selain Rumah Perlindungan Wanita Baitul Ehsan MAIS antaranya ialah Pusat Perlindungan Dar As-Saadah, Baitul Islah, Darul Islah Lil Banat, Raudhatus Sakinah.

Program yang diadakan pada setiap tahun ini bertujuan merapatkan ukhwah yang sedia terjalin antara rumah perlindungan dan pemulihan sekitar Selangor selain menjadi medan pertemuan perbincangan dan perkongsian antara pengurus rumah perlindungan bagi menambah baik pengurusan masing-masing.

Melalui program ini juga secara tidak langsung dapat menilai kemahiran pelatih dari segi pengetahuan agama melalui acara-acara yang dipertandingkan berdasarkan bimbingan dan latihan bersepadu yang diperolehi daripada kursus dan kelas agama yang dilaksanakan di rumah perlindungan masing-masing.

Selain itu, penganjuran program kali ini juga memperlihatkan usaha kakitangan pusat –pusat perlindungan untuk memantapkan sahsiah diri dan semangat bekerjasama bagi melahirkan pelatih-pelatih yang berdaya saing serta berfikiran positif dalam mengamalkan gaya hidup yang sihat di samping dapat mengeratkan ukhwah dikalangan penghuni rumah perlindungan.

Juara keseluruhan dimenangi oleh Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan MAIS diikuti naib juara oleh Pusat Perlindungan Dar As-Saadah, tempat ketiga disandang oleh Baitul Islah, tempat keempat oleh Darul Islah Lil Banat manakala tempat kelima dimenangi oleh Raudhatus Sakinah.

Perasmian penutup dan hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Datin Hajah Aminah bt Zakaria, AJK Pembangunan NGO-i MAIS, YDP Salimah Malaysia Tokoh Maal Hijrah Srikandi Khadijah 1439H diiringi oleh Dr. Haji Ahmad Shahir bin Makhtar, Pengarah Pembangunan Sosial MAIS.

Turut memeriahkan Ustazah Hafizatul Akmal bt Abd Jalil, Pengurus Bahagian Pemulihan Al-Riqab MAIS dan Ustaz Mohd Makhi bin Adnan, Penguasa Rumah Perlindungan Wanita Baitul Ehsan.