Khamis, 6 Zulkaedah 1439 / 19 Julai 2018
  • Waktu Solat
     
    Imsak
    5:41
    Subuh
    5:51
    Syuruk
    7:06
    Zuhur
    13:14
    Asar
    16:18
    Maghrib
    19:18
    Isyak
    20:27

Berita

DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SELANGOR LANTIK PENGERUSI MAIS YANG BARU

KLANG  13 Disember  –  Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah  Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj mengikut Subseksyen 11 (1) dan (2), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 telah perkenan melantik YAD Dato’ Setia Haji Mohammed Khusrin bin Haji Munawi, Mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang baru berkuatkuasa mulai 1 Januari 2018 .

Pelantikan beliau menggantikan YAD Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib bin Mohd Isa yang tamat tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi MAIS sejak tahun 2005. Majlis tersebut telah disempurnakan dalam satu majlis Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi sesi 2018 – 2020 dan Majlis Santapan Tengahari Bersama 423 Imam Masjid-Masjid Seluruh Negeri Selangor. 

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor juga berkenan melantik dan menerima sembah menghadap tiga orang Anggota MAIS yang baru bagi sesi 2018 – 2020 iaitu YBhg Dr Haji Mohd Farid Ravi bin Abdullah, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam, Kolej Universiti Islam Antarabagsa Selangor (KUIS), YBhg Prof Madya Dr Khadijah binti Mohd Khambali@Hambali, Pensyarah Jabatan Akidah Dan Pemikiran Islam, Universiti Malaya dan YBhg Prof Madya Dr Yasmin Hanani binti Mohd Safian, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia. Pelantikan sebagai Anggota MAIS ini berkuatkuasa mulai 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2020.

Pelantikan ini selaras dengan kehendak Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 di bawah Subseksyen 11 (1) dan (2) yang menyatakan:

(1) “Majlis hendaklah terdiri daripada anggota-anggota yang berikut:

(a) seorang Pengerusi;

(b) seorang Timbalan Pengerusi;

(c) lima orang anggota atas nama jawatan yang hendaklah terdiri daripada orang yang pada masa itu memegang jawatan yang berikut:

i. Setiausaha Kerajaan Negeri;

ii. Penasihat Undang-Undang Negeri;

iii. Pegawai Kewangan Negeri;

iv. Mufti;

v. Ketua Polis Negeri; 

vi. Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor; dan

(d) tidak kurang daripada lapan anggota lain, sekurang-kurangnya lima daripada mereka hendaklah yang arif dalam agama Islam.

(2) “Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan anggota-anggota lain yang dilantik di bawah perenggan (1)(d) hendaklah dilantik oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan atas budi bicara baginda bagi apa-apa tempoh tidak melebihi tiga tahun, sebagaimana yang ditentukan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan”.

Pelantikan ini, menjadikan keseluruhan Anggota MAIS bagi sesi 2018 – 2020 berjumlah 20 orang dengan diketuai oleh YAD Dato’ Setia Haji Mohammed Khusrin bin Haji Munawi selaku Pengerusi MAIS.