Jumaat, 16 Jamadilakhir 1440 / 23 Februari 2019

Berita

LAWATAN PERBADANAN BAITULMAL NEGERI SABAH KE MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR (MAIS)

SHAH ALAM 7 Februari  –  Seramai 9 orang pegawai Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah telah mengadakan lawatan ke Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bertempat di Bilik Mesyuarat Al- Mukarramah, Bangunan Sultan Idris Shah.

Lawatan ini diketuai oleh Hajah Ratnawati binti Datuk Haji Osman, Pengurus Besar Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah bertujuan mendapatkan maklumat berhubung perkhidmatan MAIS di bawah Bahagian Baitulmal meliputi Wasiat, Faraid, Wang Tidak Patuh Syariah dan Pengurusan Sumber Baitulmal di samping melihat sistem yang digunapakai oleh MAIS terutama permohonan wasiat secara atas talian.

Perbincangan ini dipengerusikan oleh Dato’ Haji Bakhtiar bin Hussin, Setiausaha MAIS. Turut hadir Puan Norzaihan bt Mohd Zain, Pengarah Baitumal dan Ustaz Indera Shahril bin Mohd Shahid, Pengurus Harta Baitulmal. Pelbagai persoalan dan buah fikiran dilontarkan sepanjang sesi perbincangan diadakan dan diharapkan perjumpaan seumpama ini dapat mengeratkan hubungan dua hala di antara MAIS dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.