Khamis, 6 Zulkaedah 1439 / 19 Julai 2018
  • Waktu Solat
     
    Imsak
    5:41
    Subuh
    5:51
    Syuruk
    7:06
    Zuhur
    13:14
    Asar
    16:18
    Maghrib
    19:18
    Isyak
    20:27

Berita

MAIS SALUR BANTUAN RM2.8 JUTA UNTUK RUMAH PEMULIHAN RIQAB DI SELANGOR

KLANG 3 April  –  Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menyerahkan sumbangan bantuan Geran Sukuan 2018 kepada 17 buah Rumah Pemulihan Riqab (RPA) berjumlah RM996,000.00 dan sumbangan bantuan Geran Tahunan 2018  kepada 10 buah Rumah Pemulihan Riqab (RPA) berjumlah RM852,000.00.

MAIS juga turut memberi sumbangan Geran Tahunan untuk Rohingya Education Centre (REC) yang beroperasi di Klang dan Gombak berjumlah RM960,000.00. 

Bantuan ini merupakan sumbangan dana bagi tahun 2018 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM2,808,000.00 bertujuan membantu golongan asnaf riqab yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan kawalan selain pelbagai bantuan lain agar golongan terbabit kembali ke pangkal jalan.

Sumbangan ini telah disampaikan oleh YAD Dato’ Setia Mohammed Khusrin bin Haji Munawi, Pengerusi MAIS diiringi oleh YDH Dato’ Haji Emran bin Haji Kadir, Anggota MAIS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS.

Antara Rumah Pemulihan Riqab (RPA) yang menerima sumbangan bagi Geran Sukuan 2018 adalah Rumah Safiyyah, Baitul Islah dan Sahabat PERKID. Manakala bagi sumbangan bagi Geran Tahunan 2018 adalah Rumah Penjagaan Damai, Rumah Solehah dan PROKIM Malaysia.

Sumbangan ini disampaikan dalam Majlis Konvensyen Rumah Pemulihan Riqab dan Penyerahan Geran Rumah Pemulihan Riqab 2018 yang diadakan di Hotel Aliya, Klang. Dalam konvensyen ini sebanyak 3 kertas kerja telah dibentangkan bertujuan memberi pendedahan kepada peserta tentang pentingnya kaunseling dan khidmat nasihat kepada asnaf riqab sepanjang proses dilaksanakan selain memastikan proses pemulihan dan rawatan dilaksanakan dengan hukum syarak. Antara pembentangnya adalah Prof. Madya Dr. Jahit bin Sidek, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Darul Wardah Selangor yang menyampaikan kertas kerja bertajuk “Perawatan Islam Satu Kaedah Pemulihan Mengikut Hukum Syarak”.

Turut hadir Dato’ Haji Bakhtiar bin Hussin, Setiausaha MAIS dan Dr. Haji Ahmad Shahir bin Makhtar, Pengarah Pembangunan Sosial MAIS.