Khamis, 9 Ramadan 1439 / 24 Mei 2018
  • Waktu Solat
     
    Imsak
    5:41
    Subuh
    5:51
    Syuruk
    7:06
    Zuhur
    13:14
    Asar
    16:18
    Maghrib
    19:18
    Isyak
    20:27

Berita

NGO-i MAIS PERLU PRO AKTIF TANGANI ISU AKIDAH DAN MASALAH SOSIAL MASYARAKAT ISLAM

SHAH ALAM 16 April  – Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i) yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam Selangor disaran sentiasa bersedia dalam menghadapi cabaran-cabaran berdakwah kepada Non Muslim dan juga Muslim dalam mendepani isu akidah dan masalah sosial masyarakat Islam pada masa kini seperti isu ajaran sesat, Kalimah Allah, anak luar nikah (bapa biologi) dan tuntutan Sister In Islam perlulah dititikberatkan.

Menurut Pengerusi MAIS, YAD Dato’ Setia Haji Mohammed Khusrin bin Haji Munawi, NGO-i juga perlulah konsisten serta lebih fokus kepada sesuatu isu dan golongan sasaran tertentu dalam pelaksanaan program dakwah dengan menjalinkan hubungan kerjasama dengan agensi awam ataupun swasta bagi menghadapi ancaman sedia ada seperti ancaman pemikiran Liberalisme, Pluralisme, Ekstremisme, Atheist dan Agnostik.

“Dalam mendepani isu dan cabaran masa kini, NGO-i MAIS perlulah bersatu dalam apa juga tindakan supaya ikatan tali silaturrahim dapat dijaga dengan baik di samping mengambil pendekatan nilai kesatuan ummah supaya tindakan dapat dilaksanakan secara bersepadu”, katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Amanat di dalam Persidangan NGO-i MAIS Negeri Selangor 2018 di Dewan Syarahan & Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Dalam Persidangan NGO-i MAIS, sebanyak 2 slot utama kepada peserta antaranya adalah Ceramah Khas dan Forum bertujuan memberi pendedahan kepada peserta bagi berkongsi cabaran dakwah dan islah kontemporari serta gerakan dakwah yang berkesan. Antara tajuk Ceramah Khas Adalah ‘Peranan NGO-i Mendepani Cabaran Dakwah dan Islah Dalam Masyarakat Kontemporari’ yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Yasmin Hanani binti Mohd Safian, Anggota MAIS merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa NGO-i MAIS.

Pada majlis yang sama, turut diadakan Penyampaian Sijil Pendaftaran NGO-i MAIS kepada 78 buah NGO-i MAIS yang disampaikan oleh Pengerusi MAIS. 

Turut hadir YBhg Dato’ Pahlawan Mohd Shukri bin Dahlan, Anggota MAIS merangkap Pengerusi Jawatankuasa NGO-i MAIS dan Sahibus Saadah Dato’ Haji Haris bin Kasim Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).