Rabu, 6 Safar 1440 / 17 Oktober 2018
  • Waktu Solat
     
    Imsak
    5:41
    Subuh
    5:51
    Syuruk
    7:06
    Zuhur
    13:14
    Asar
    16:18
    Maghrib
    19:18
    Isyak
    20:27

Berita

MAIS PERKENAL SISTEM WASIAT ATAS TALIAN ATAU EWASIAT MAIS

SHAH ALAM  18 April   –  Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah membuat transformasi bagi mengajak masyarakat untuk mengurus harta dengan segera dengan memperkenalkan Sistem Wasiat Atas Talian  atau  eWASIAT MAIS.

Sistem ini boleh dilayari melalui laman web www.wasiat.com.my bagi memudahkan masyarakat membuat wasiat untuk kebajikan dan melantik MAIS selaku wasi kepada wasiat yang dibuat selaras dengan bidang kuasa di bawah Subseksyen 5(4), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

MAIS juga mengajak semua Majlis Agama Islam Negeri agar mewujudkan perkhidmatan ini secara talian dan meluaskan kepada seluruh umat Islam di negeri-negeri.

MAIS turut memperkenalkan satu permainan yang dikenali sebagai BIJAK PUSAKA GAME yang dibangunkan hasil kerjasama Bahagian Harta Baitulmal MAIS dengan Fakulti Syariah Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

BIJAK PUSAKA GAME adalah sebuah inisiatif baru bagi memudahkan masyarakat mempelajari ilmu faraid dan wasiat secara santai dengan konsep permainan dan didik hibur yang interaktif.

Pelancaran Sistem eWASIAT MAIS dan BIJAK PUSAKA GAME ini dilancarkan oleh YAD Dato’ Setia Haji Mohammed Khusrin bin Haji Munawi, Pengerusi MAIS di dalam Seminar Transformasi Pengurusan Wasiat dan Hibah Negeri Selangor 2018 yang diadakan di Shah Alam Convention Centre (SACC). Dalam seminar ini, sebanyak 2 kertas kerja telah dibentangkan bertujuan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat tentang instrumen pengurusan harta orang Islam di Malaysia. Antara pembentangnya adalah YAD Dato’ Setia Haji Mohd Tamyes bin Abdul Wahid, Mufti Selangor yang menyampaikan kertas kerja yang bertajuk ‘Hibah Mekanisme Terbaik Pembahagian Harta Semasa Hidup’.

Pada majlis yang sama, turut diadakan Majlis Menandatangani MOU Rakan Strategik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam usaha memartabatkan ilmu pengurusan harta dengan menawarkan perkhidmatan wasiat secara percuma kepada pegawai PKNS dan pembeli-pembeli hartanah PKNS.

MOU ini telah ditandatangani oleh Dato’ Haji Bakhtiar bin Hussin, Setiausaha MAIS dan YBhg Datin Paduka Dr Hajah Noraida binti Haji Mohd Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS dengan disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan Pengerusi MAIS.