Selasa, 2 Rabiulakhir 1440 / 11 Disember 2018
  • Waktu Solat
     
    Imsak
    5:41
    Subuh
    5:51
    Syuruk
    7:06
    Zuhur
    13:14
    Asar
    16:18
    Maghrib
    19:18
    Isyak
    20:27

Berita

PELATIH-PELATIH PUSAT PERLINDUNGAN WANITA BAITUL EHSAN DIBERI PENGHARGAAN

SABAK BERNAM  12 Julai –  Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan terus memperkenalkan program yang dapat memberi manfaat kepada golongan asnaf riqab antaranya adalah pelatih-pelatih di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan. 

Pelbagai program diterjemahkan bagi tahun 2018 kepada pelatih terbabit yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan kawalan selain pelbagai bantuan lain agar golongan terbabit kembali ke pangkal jalan.

Bagi memberikan penghargaan kepada pelatih-pelatih yang telah berjaya dalam bidang akademik dan kemahiran, Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan MAIS telah menganjurkan Hari Kecemerlangan Penghuni Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan di mana penganjurannya pada tahun ini merupakan kali ke-10 semenjak diperkenalkan.

Majlis yang diadakan pada setiap tahun ini bertujuan menyuntik semangat kepada pelatih supaya terus berusaha untuk mencapai kejayaan, di samping memberi dorongan dan keyakinan untuk berjaya dalam bidang akademik walaupun berada di dalam pusat perlindungan. Selain itu, penghargaan ini memberi peluang kepada mereka untuk membentuk sahsiah diri supaya menjadi insan lebih sempurna dan cemerlang.

Seramai 35 orang pelatih Baitul Ehsan telah menerima anugerah meliputi Anugerah Ketua Rumah Terbaik, Ketua Pelatih Terbaik, Anugerah Khas Disiplin Terbaik dan Anugerah Khas ‘Rabiatul Adawiyah’. Penghargaan ini turut diberikan kepada tenaga pengajar yang menjadi tunjang utama kepada kejayaan pelatih-pelatih di sini.

Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan merupakan pusat perlindungan di bawah Bahagian Pemulihan Al-Riqab MAIS yang memberi perkhidmatan, perlindungan, pemulihan, kaunseling dan latihan yang dinamik terhadap wanita yang terdedah kepada gejala sosial selaras dengan Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

Majlis ini dirasmikan oleh YAD Dato’ Setia Haji Mohammed Khusrin Bin Haji Munawi, Pengerusi MAIS. Turut hadir Tuan Haji Dr. Ahmad Shahir bin Makhtar, Pengarah Pembangunan Sosial MAIS.