Isnin, 8 Rabiulakhir 1440 / 17 Disember 2018
  • Waktu Solat
     
    Imsak
    5:41
    Subuh
    5:51
    Syuruk
    7:06
    Zuhur
    13:14
    Asar
    16:18
    Maghrib
    19:18
    Isyak
    20:27

Berita

81 BADAN PERTUBUHAN ISLAM BUKAN KERAJAAN (NGO-I) TERIMA SUMBANGAN DANA MAIS

SHAH ALAM  – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menyerahkan sumbangan dana kepada 81 badan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i) yang berdaftar di bawah MAIS. Semua NGO-i menerima sumbangan dana antara RM10,000 sehingga RM25,000 menerusi aktiviti dakwah yang dijalankan.

Bantuan ini merupakan sumbangan dana bagi fasa ke 2/2018 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.2 juta bertujuan memperkasa dakwah Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i) dan membangunkan sahsiah umat Islam.

Sumbangan yang menggunakan peruntukan Asnaf Fisabilillah Lembaga Zakat Selangor (LZS) ini telah disampaikan oleh YAD Dato’ Setia Haji Mohammed Khusrin bin Haji Munawi, Pengerusi MAIS.

Antara NGO-i yang menerima sumbangan adalah Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS), Persatuan Sukarelawan Islam Hospital Selangor (SAHABAT), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia Negeri Selangor (PEMADAM) dan Persatuan Ulamak Malaysia Cawangan Selangor.

MAIS juga turut menyampaikan sumbangan Geran Tahunan Rumah Kebajikan Perlindungan Anak Yatim sebanyak RM220,000.00 kepada 12 buah rumah anak yatim. Antara rumah anak yatim yang menerima sumbangan adalah Rumah Anak Yatim Hidayah Al-Hijrah, Persatuan Rumah Anak Yatim dan Miskin Damai dan Rumah Kebajikan Anak Yatim Al-Munirah.

Pada majlis yang sama, turut diadakan Persidangan NGO-i MAIS yang bertujuan memberi pendedahan kepada peserta NGO-i bagi berkongsi cabaran dakwah dalam mendepani ancaman akidah dan ancaman sosial umat Islam. Sebanyak 2 slot utama kepada peserta antaranya adalah ‘Kepentingan Fiqh Keutamaan (Fiqh Al-Awlawiyat) ke arah memartabatkan kesucian agama Islam’ yang disampaikan oleh Dr. Mohd Farid bin Mohd Shahran, Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang & Politik (SYARAK), IKIM.