Khamis, 14 Rejab 1440 / 21 Mac 2019

Berita

SULTAN SELANGOR BERKENAN MELANTIK PENASIHAT UNDANG-UNDANG NEGERI SELANGOR SEBAGAI ANGGOTA MAIS SESI 2018-2020

KLANG 10 Disember  -  Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj berkenan melantik Penasihat Undang-undang Negeri Selangor yang baharu iaitu YB Dato’ Masri Bin Mohd Daud sebagai Anggota MAIS berkuatkuasa mulai 3 Disember 2018 hingga 31 Disember 2020.

Pelantikan ini diadakan di dalam Majlis Istiadat Menyembahkan Air Doa Selamat di Balairung Seri, Istana Alam Shah.

Pelantikan ini juga adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang termaktub di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 di bawah seksyen 11 (1)(c) di mana Majlis hendaklah terdiri daripada anggota-anggota yang berikut iaitu enam anggota atas nama jawatan hendaklah terdiri daripada orang pada masa itu memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang Negeri Selangor.

Kuasa pelantikan Anggota MAIS ini juga adalah terletak pada kuasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di bawah seksyen 11 (2) enakmen sama yang menerangkan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan anggota-anggota lain yang dilantik di bawah perenggan (1)(d) hendaklah dilantik oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan atas budi bicara Baginda bagi apa-apa tempoh, tidak melebihi tiga tahun, sebagaimana yang ditentukan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan.