Jumaat, 21 Zulhijjah 1440 / 23 Ogos 2019

Berita

MAJLIS BERBUKA PUASA DYMM SULTAN SELANGOR BERSAMA RAKYAT DI MASJID NEGERI

SHAH ALAM 8 Mei - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 72 orang asnaf fakir, 394 orang miskin serta 77 orang asnaf mualaf pada Majlis Berbuka Puasa (Ihya' Ramadhan) Bersama Rakyat Dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Kesemua mereka menerima sumbangan zakat sebanyak RM500 setiap seorang membabitkan jumlah zakat sebanyak RM271,500.

Baginda diiringi oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Pada majlis yang sama, baginda juga turut berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada enam syarikat korporat berjumlah RM13.1 juta. 

Enam syarikat berkenaan adalah Kumpulan DRB Hicom Berhad, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kumpulan Worldwide Holdings Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, UMW Holdings Berhad dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Turut hadir pada majlis itu ialah YAB Dato’ Menteri Besar Selangor Amirudin bin Shari; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Dato’ Setia Haji Mohammed Khusrin bin Haji Munawi; Penasihat Undang-Undang MAIS Cik Nurhani Salwa binti Jamaluddin; Pengarah Pengurusan Korporat MAIS Mohd Farid bin Baharon; dan Ketua Audit Dalam MAIS Zaharudin bin Salim.

Sementara itu, Pengerusi MAIS Dato’ Setia Haji Mohammed Khusrin dalam ucapannya berkata, sepanjang bulan Ramadan dan Syawal tahun ini, Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah memperuntukkan RM26.3 juta untuk diagihkan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh negeri Selangor.

Daripada jumlah tersebut, RM7 juta diagihkan kepada asnaf fakir, RM17 juta diagihkan kepada miskin dan RM1.5 juta kepada mualaf.