Jumaat, 21 Zulhijjah 1440 / 23 Ogos 2019

Berita

DYMM SULTAN SELANGOR RASMIKAN MASJID NURUL FALAH, DAERAH SABAK BERNAM

SEKINCHAN 13 Mei - Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah berkenan merasmikan Masjid Nurul Falah, Tali Air 7, Kampung Sungai Leman, di sini.

Baginda merasmikan masjid yang siap sepenuhnya pada 1985 selepas terbengkalai hampir dua tahun. Masjid itu pada awalnya dikenali sebagai masjid nibong kerana tiangnya dibuat menggunakan kayu nibong dan dibina sekitar 40-an oleh penduduk yang meneroka tanah kampung berkenaan.

Masjid berkeluasan sembilan ekar itu mampu menampung seramai 400 jemaah secara keseluruhan dengan 250 jemaah dalam ruang solat utama yang dilengkapi penghawa dingin, kamera litar tertutup dan skrin LCD.

Selain merasmikan masjid, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya berjumlah RM500 kepada 445 asnaf fakir, miskin dan mualaf sekitar daerah Sabak Bernam.

Penerima sumbangan itu membabitkan fakir seramai 16 orang, miskin (337) dan mualaf (92).

Sultan Sharafuddin bersama hadirin kemudian berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib berjemaah diikuti solat Isyak serta Tarawih.

Mengiringi baginda ialah Dato’ Menteri Besar Amirudin Shari, Pengerusi MAIS YAD Dato’ Setia Haji Mohammed Khusrin bin Haji Munawi dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Haris Kasim.