Ahad, 12 Syawal 1440 / 17 Jun 2019

Berita

MAIS PERUNTUK RM500,000 BANTU ANAK YATIM DI SELANGOR

SABAK BERNAM -  Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM54,400 kepada anak yatim di Masjid Taman Padu Permai, Sungai Besar.

Sumbangan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) yang disampaikan baginda membabitkan wang tunai RM100 kepada setiap 544 anak yatim di Daerah Sabak Bernam bagi membantu meringankan beban dalam menyambut Aidilfitri.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YIDE, Encik Nur Mohd Razali bin Abdulllah berkata, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Baitulmal memperuntukkan geran tetap sebanyak RM500,000 bagi menyalurkan sumbangan kepada anak yatim di negeri Selangor pada tahun ini.

Beliau berkata, YIDE juga memperoleh baki selebihnya daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini.

YIDE dimiliki sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang dipertanggungjawabkan dengan rumah kebajikan anak yatim di Selangor, manakala DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah adalah penaung Diraja sejak ia ditubuhkan pada 2011.

Turut hadir pada program itu adalah Dato' Dr. Hj Anhar Hj Opir Timbalan Mufti Selangor, Encik Nur Mohd Razali Abdullah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YIDE dan Puan Nurhani Salwa binti Jamaluddin Pemangku Setiausaha MAIS.