Jumaat, 21 Zulhijjah 1440 / 23 Ogos 2019

Berita

RAJA MUDA SELANGOR SERAH SUMBANGAN AIDILFITRI DI MASJID SELAYANG BARU

GOMBAK -  Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM110,000 kepada golongan asnaf di Masjid At-Taqwa, Kampung Selayang Baru.

Baginda menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) membabitkan wang tunai RM100 kepada 1,100 anak yatim di daerah Gombak bagi membantu persiapan menyambut Aidilfitri.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah berkata, sebanyak RM797,000 diperuntukkan tahun ini untuk diagihkan kepada anak yatim yang berdaftar di bawah YIDE.

“Gombak adalah daerah kelima yang menjadi lokasi penyampaian sumbangan untuk anak yatim daripada YIDE sempena Aidilfitri tahun ini.

“Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan sumbangan kepada empat daerah iaitu Klang, Petaling, Sabak Bernam dan Kuala Selangor sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari; Orang Besar Daerah Gombak, Tan Sri Wan Mahmood Pa’ Wan Teh; dan Pemangku Setiausaha MAIS, Puan Nurhani Salwa binti Jamaluddin.