Selasa, 20 Zulkaedah 1440 / 23 Julai 2019

Berita

PELATIH-PELATIH BAITUL EHSAN DIBERI PENGHARGAAN

SABAK BERNAM 1 Julai    Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan terus memperkenalkan program yang dapat memberi manfaat kepada golongan asnaf riqab antaranya adalah pelatih-pelatih di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan.

Bagi memberikan penghargaan kepada pelatih-pelatih yang telah berjaya dalam bidang akademik dan kemahiran, Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan MAIS telah menganjurkan Hari Kecemerlangan Pelatih dan Sambutan Hari Raya Baitul Ehsan di mana penganjurannya pada tahun ini merupakan kali      ke-11 semenjak diperkenalkan.

Majlis yang diadakan pada setiap tahun ini bertujuan menyuntik semangat kepada pelatih supaya terus berusaha untuk mencapai kejayaan, di samping memberi dorongan dan keyakinan untuk berjaya dalam bidang akademik walaupun berada di dalam pusat perlindungan. Selain itu, penghargaan ini memberi peluang kepada mereka untuk membentuk sahsiah diri supaya menjadi insan lebih sempurna dan cemerlang.

Seramai 45 orang pelatih Baitul Ehsan telah menerima anugerah meliputi Pelatih Terbaik Mengikut Kuliah, Pelatih Terbaik Mengikut Kelas Kemahiran Vokasional, Mata Pelajaran Terbaik Keseluruhan, Anugerah Ketua Rumah Terbaik, Anugerah Ketua Pelatih Terbaik, Anugerah Khas Disiplin Terbaik dan Anugerah Khas Al-Riqab.

Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan merupakan pusat perlindungan di bawah Bahagian Pemulihan Riqab MAIS yang memberi perkhidmatan, perlindungan, pemulihan, kaunseling dan latihan yang dinamik terhadap wanita yang terdedah kepada gejala sosial selaras dengan Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

Majlis ini dirasmikan oleh YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof, Anggota MAIS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Riqab Negeri Selangor. Turut hadir Dr. Ahmad Shahir bin Makhtar, Pemangku Setiausaha MAIS.