Khamis, 19 Muharram 1441 / 20 September 2019

Berita

ISTIADAT PENGURNIAAN WATIKAH GELARAN DATO’ DIRAJA SELANGOR, PENGURNIAAN WATIKAH PELANTIKAN ANGGOTA MAIS, SETIAUSAHA MAIS, PENDAFTAR KANAN, PENDAFTAR PERKAHWINAN PERCERAIAN DAN RUJUK ORANG ISLAM DI NEGERI SELANGOR SERTA WALI DIRAJA

Shah Alam 21 OGOS – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj berkenan melantik YB Tuan Mohd Zawawi Bin Ahmad Mughni, Pembantu Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor sebagai Anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Dr. Haji Ahmad Shahir Bin Makhtar sebagai Setiausaha MAIS di Istana Bukit Kayangan pada 21 Ogos 2019.

Pelantikan Anggota MAIS ini selaras dengan kehendak Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (EPAINS 2003) di bawah Seksyen 11 (1) (d) yang menyatakan:

11. (1) “Majlis hendaklah terdiri daripada anggota-anggota yang berikut:

(d) tidak kurang daripada lapan anggota lain, sekurang-kurangnya lima daripada mereka hendaklah yang arif dalam agama Islam.”

Pelantikan Setiausaha MAIS pula adalah berdasarkan EPAINS 2003 di bawah Seksyen 16 (1) yang menyatakan:

16. (1) “ Duli Yang Maha Mulia Sultan atas nasihat Majlis, hendaklah melantik mana-mana orang yang layak dan sesuai menjadi Setiausaha.”

Majlis tersebut telah disempurnakan dalam satu Majlis Istiadat Pengurniaan Watikah Gelaran Dato’ Diraja Selangor, Pengurniaan Watikah Pelantikan Anggota MAIS, Setiausaha MAIS, Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam di Negeri Selangor serta Wali Raja. 

Pelantikan Setiausaha MAIS ini menggantikan YBhg. Dato’ Bakhtiar Bin Hussin yang telah bersara pada 18 Disember 2018 yang lalu. Sebelum ini Dr. Haji Ahmad Shahir Bin Makhtar menjawat jawatan Pengarah Pembangunan Sosial MAIS selama 6 tahun. Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam hal ehwal agama Islam di Negeri Selangor kerana terlibat sebagai Ketua Pendaftar Muallaf dan Ketua Pendaftar Riqab Negeri Selangor.

Dalam Istiadat Pengurniaan tersebut juga, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor juga berkenan mengurniakan watikah Gelaran Dato’ Diraja Selangor, Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam di Negeri Selangor serta Wali Raja.

Bagi pelantikan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam di Negeri Selangor dan menjadi Wali Raja telah dikurniakan kepada Ustaz Mohd Hafiz Bin Ab Aziz dan Ustaz Hazman Bin Che Mohamed daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Pelantikan ini adalah selaras dengan ketetapan hukum syarak dan yang dinyatakan di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 di bawah seksyen 28 (2) yang menyatakan:

28. (2) “Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh melantik beberapa orang yang berkelayakan sebagaimana yang perlu, untuk menjadi Pendaftar Kanan, Pendaftar, atau Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam bagi mana-mana kariah masjid dalam Negeri Selangor sebagaimana yang ditentukan dalam pelantikan ini.”