Ahad, 12 Syawal 1440 / 17 Jun 2019

PERSOALAN BERKAITAN IBADAH QURBAN

Susunan oleh: Bahagian Komunikasi Korporat MAIS

Soalan 1 : Apakah hukum berkongsi seekor binatang qurban, sebahagian untuk qurban dan sebahagian lagi sebagai aqiqah?

 

Jawapan : Hukum berkongsi seekor binatang qurban, sebahagian untuk qurban dan sebahagian lagi untuk aqiqah adalah harus. Pembahagian setiap seekor unta, lembu atau kerbau itu adalah  tujuh bahagian. Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Jabir Bin Abdullah RA, bahawa;

 

Maksudnya: “Kami berqurban bersama Rasulullah S.A.W pada tahun perjanjian Hudaibiyah dengan badanah (unta gemuk) untuk tujuh orang, dan lembu juga untuk tujuh orang”. (Riwayat Muslim)


Berkata Imam Nawawi di dalam al-Majmu’ yang bermaksud:

Memadai seekor unta, demikian juga lembu untuk tujuh orang, sama ada untuk sebuah ahli keluarga ataupun untuk beberapa ahli keluarga. Sama ada mereka itu melakukan qurban dengan maksud yang sama ataupun berbeza, sama ada qurban wajib atau sunat atau sebahagian mereka hanya mahukan daging. Harus juga kalau sebahagian mereka bermaksud melakukan qurban dan sebahagian yang lain bermaksud al-hadyu (binatang yang disembelih di Tanah Haram sebagai dam haji atau umrah). (Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab).

 

Soalan 2 : Adakah daging qurban boleh dijual?

 

Jawapan : Tidak boleh menjual sesuatu pun daripada mana-mana bahagian sembelihan qurban, sama ada qurban yang wajib atau sunat, termasuklah daging, lemak, kulit, tanduk, tulang, bulu dan sebagainya. Ini berdasarkan riwayat Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa yang menjual kulit sembelihan qurbannya, maka tiada baginya ibadat qurban”. (Riwayat al-Hakim).

Manakala golongan faqir dibolehkan untuk menjual daging yang diberikan kepadanya.

 

Soalan 3 : Mengapa Islam mensyariatkan umatnya melaksanakan ibadah qurban?

 

Jawapan : Ibadah qurban merupakan satu ibadah (Ta’abbudi) yang amat mulia di sisi Allah S.W.T. Di dalamnya terkandung banyak hikmah. Sejarah ibadah qurban bermula pada zaman Nabi Ibrahim A.S. ketika peristiwa penyembelihan anaknya Nabi Ismail A.S. yang telah digantikan dengan seekor kambing dengan kuasa Allah S.W.T. Ibadah qurban ini telah disyariatkan pada tahun ke-2 Hijrah. Mengikut istilah fiqh, qurban (al-udhiyah) bermaksud menyembelih haiwan tertentu sama ada unta, lembu atau kambing dengan niat mendekatkan diri kepada Allah S.W.T, pada waktu tertentu iaitu bermula setelah selesainya Solat Hari Raya ‘Eidul Adha (10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyriq (11,12 & 13 Zulhijjah) kerana beribadah kepada  Allah S.W.T., iaitu sebagai menghidupkan syariat Nabi Ibrahim A.S. yang kemudiannya disyariatkan kepada Nabi Muhammad S.A.W.

 

Terdapat banyak dalil daripada Al-Quran, Hadis dan Ijma’ tentang pensyariatan ibadah qurban ini. Di dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat berkaitan ibadah qurban antaranya firman Allah S.W.T. di dalam surah al-Kautsar ayat 2 bermaksud;

“Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah (qurban) sebagai (tanda) bersyukur”.

 

Firman Allah S.W.T. lagi di dalam surah al-Hajj ayat 36 bermaksud;

“Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur”.

 

Selain daripada itu, terdapat juga hadis-hadis Nabi S.A.W yang menjadi dalil akan pensyariatan ibadah qurban. Antaranya sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Tidak ada satu amalan anak Adam pada hari Nahar (Hari ‘Eidul Adha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih binatang qurban), kerana ia (binatang qurban) itu akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk, kuku dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadah qurban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang qurban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu perelokkan olehmu niat serta binatang yang diqurbankan.”

(Riwayat al-Hakim).

 

Berdasarkan dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis para ulama’ telah bersepakat bahawa ibadah qurban merupakan satu ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah S.W.T ke atas hamba-hambaNya. Ianya merupakan sunnah yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S. berdasarkan maksud firman Allah di dalam surah al-Soffat ayat 107:

Maksudnya : “Dan Kami tebus anaknya itu (Ismail) dengan seekor binatang sembelihan (kibash) yang besar”.