Sabtu, 21 Muharram 1441 / 21 September 2019

Susunan oleh: Bahagian Komunikasi Korporat MAIS

“Pelaksanaan Hakam: Merungkai Konflik Wanita Gantung Tak Bertali”

 

Apakah yang dimaksudkan dengan Hakam?

 

Perkataan Hakam telah disebut secara umum dalam Al-Quran, Surah an-Nisa’, melalui ayat 58 yang bermaksud “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”.

 

Berdasarkan kepada Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014, Hakam bermaksud seseorang penimbang tara yang diberi kuasa oleh suami atau isteri atau oleh Mahkamah untuk menyelesaikan perkelahian (shiqaq) antara suami dan isteri dalam perkahwinan.

 

Pelantikan Hakam ini biasanya berlaku dalam kes seorang isteri yang menuntut cerai dengan talaq terhadap suaminya di Mahkamah  Syariah, tetapi suami enggan untuk menceraikan isterinya itu.  Pelantikan Hakam ini juga boleh berlaku apabila seorang suami yang ingin menceraikan isterinya di Mahkamah  Syariah, tetapi  isteri tidak bersetuju untuk diceraikan. Tuntutan penceraian ini pada kebiasaannya disebabkan oleh banyak perkara termasuklah tiada lagi “mawaddah” dan “rahmah” dalam rumah tangga pasangan tersebut.

 

Dalam keadaan sebegini, apabila Mahkamah berpuas hati bahawa perbalahan (shiqaq) benar-benar wujud dan sentiasa berlaku, Mahkamah boleh melantik dua orang Hakam atau penimbangtara yang akan bertindak bagi pihak suami dan isteri yang berkenaan bagi menyelesaikan perbalahan (shiqaq) tersebut dalam suatu prosiding yang dinamakan sebagai Majlis Tahkim.

 

Majlis Tahkim adalah suatu proses yang melibatkan pihak-pihak yang bertikaian yang melantik seseorang untuk menjadi Hakam bagi menyelesaikan pertikaian yang timbul di antara mereka.  Majlis Tahkim ini hampir menyamai dengan proses “al-qadha’” atau “kehakiman”, namun, dari segi kedudukannya, ia adalah lebih rendah dari “al-qadha’” atau “kehakiman”.

 

Apakah sandaran Hukum Syarak dan undang-undang bagi pelaksanaan Hakam?

 

Pelantikan Hakam ini telah disebut di dalam al-Quran, melalui Surah an-Nisa’, ayat 35 yang bermaksud  “Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah seorang pendamai dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua pendamai itu menghendaki perdamaian, nescaya Allah berikan taufik kepada suami isteri itu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi amat mendalam pengetahuanNya.”.

 

Melalui ayat tersebut, Allah S.W.T. telah menjelaskan tentang cara yang boleh digunakan dalam menyelesaikan masalah perbalahan (shiqaq) yang berpanjangan antara suami dan isteri.

 

Terdapat dua pendapat yang berbeza mengenai pelaksanaan kuasa Hakam. Pendapat pertama, daripada Ulama Mazhab Hanafi (al-Hanafiyyah), Ulama Mazhab Shafie (as-shafi'iyyah), salah satu pendapat Imam Ahmad ibn Hanbal dan Dzohiriyyah, tidak mengharuskan seseorang isteri menuntut cerai dengan alasan shiqaq. Sebaliknya, Hakim yang mendengar tuntutan tersebut hendaklah melantik Hakam bagi suami dan Hakam bagi isteri dengan tujuan untuk mendamaikan mereka. Hakim juga boleh mengarahkan suami agar tidak berlaku zalim terhadap isterinya. 

 

Pendapat kedua, daripada Ulama Mazhab Maliki (al-Malikiyyah) dan pandangan Imam Ahmad ibn Hanbal dalam riwayat kedua, mengharuskan seseorang isteri menuntut cerai dengan alasan shiqaq. Jika suami enggan untuk menceraikan isteri setelah disabitkan wujud dharar atau shiqaq oleh Hakim, maka Hakim boleh menceraikan isteri tersebut. Dalam hal ini, memandangkan Hakim telah melantik Hakam sebagai wakilnya dalam Majlis Tahkim yang melibatkan suami isteri yang sentiasa berbalah, maka Hakam tersebut mempunyai kuasa untuk menceraikan suami isteri tersebut.

 

Berdasarkan kepada pandangan kedua di atas, peruntukan seksyen 48 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 1984 telah memasukkan Hakam sebagai salah satu cara yang boleh dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah bagi membubarkan perkahwinan suami isteri yang telah hidup dalam keadaan shiqaq yang berpanjangan yang memberi kemudaratan kepada kedua-dua pihak. Malah, peruntukan ini juga telah dikekalkan dalam undang-undang yang baharu, iaitu Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Bagi memperincikan tatacara pelaksanaan Hakam di Negeri Selangor, Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014 telah digubal dan diwartakan. Kesemua peruntukan undang-undang yang melibatkan Hakam tersebut telah diwartakan bagi memelihara maslahat umat Islam. Ini sangat bertepatan dengan kehendak Syarak dan selaras dengan kaedah-kaedah fiqh yang bermaksud “kemudaratan hendaklah disingkirkan” dan “tindakan pemerintah ke atas rakyatnya tertakluk kepada maslahah.”.

 

Bagaimanakah Hakam merungkai konflik wanita yang digantung tak bertali?

 

Jika salah satu pihak daripada pasangan perkahwinan tidak bersetuju dengan tuntutan cerai yang difailkan, mahkamah perlu menyiasat sama ada telah wujud shiqaq yang berpanjangan dalam perkahwinan tersebut. Antara bentuk perbalahan yang boleh disabitkan sebagai shiqaq termasuklah keadaan suami isteri yang sering bergaduh sehingga menimbulkan kesukaran untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing dan saling tuduh menuduh tidak melaksanakan hak sebagai suami isteri, saling tuduh-menuduh bahawa suami isteri itu mempunyai hubungan sulit dengan perempuan atau lelaki yang bukan mahram atau  perkelahian yang kerap hingga menyebabkan pukul-memukul antara mereka. 

 

Jika mahkamah berpuas hati bahawa shiqaq telah berlaku, mahkamah akan mengarahkan suami isteri melantik Hakam masing-masing dari kalangan saudara karib mereka yang mempunyai pengetahuan asas dalam hal kekeluargaan dan Hukum Syarak serta tahu hal keadaan suami isteri itu. Selepas pelantikan tersebut, Hakam akan mengendalikan sesi pertemuan dengan suami isteri tersebut bagi menamatkan shiqaq antara suami dan isteri dengan cara mendamaikan mereka atau memisahkan kedua-duanya sama ada dengan talaq atau dengan khul’. Dalam Majlis Tahkim tersebut, Hakam suami akan cuba mendapatkan kuasa penuh daripada suami untuk menceraikan isteri dengan talaq jika perdamaian gagal dicapai dan Hakam isteri pula akan cuba mendapatkan kuasa penuh daripada isteri untuk menerima lafaz khul’ daripada Hakam suami jika suami bersetuju cerai dengan cara khul’.

 

Selepas selesai Majlis Tahkim tersebut, kedua-dua Hakam akan melaporkan kepada mahkamah keputusan daripada Majlis Tahkim tersebut. Jika suami isteri tersebut berjaya didamaikan, mahkamah akan memerintahkan suami isteri tersebut untuk berdamai dan kembali hidup sebagai suami isteri. Jika Hakam gagal mendamaikan suami isteri tersebut dan gagal mendapatkan kuasa penuh daripada suami untuk menceraikan isteri dengan talaq, mahkamah akan memecat Hakam yang dilantik dan melantik Hakam baru bagi suami dan isteri dari kalangan Anggota Panel Hakam Selangor yang terlatih dan mempunyai kemahiran dalam Hukum Syarak dan undang-undang. Di peringkat ini, Hakam akan berusaha untuk mendamaikan suami dan isteri tersebut. Namun, sekiranya Hakam gagal untuk mendamaikan suami isteri tersebut, Hakam telah diberi kuasa oleh Hakim untuk mentalaqkan isteri jika punca shiqaq adalah disebabkan oleh pihak suami atau melafazkan talaq khul’ kepada isteri jika shiqaq disebabkan oleh isteri. Dengan cara itu terbubarlah perkahwinan secara sah menurut undang-undang dan Hukum Syarak.

 

Nota: Maklumat ini hanyalah maklumat umum untuk panduan dan pemahaman masyarakat dan tidak boleh dijadikan sebagai hujah di Mahkamah Syariah.

Susunan oleh: Bahagian Komunikasi Korporat MAIS

Soal Jawab Berkaitan Maulidur Rasul

 

1.     Apakah Pandangan Syariat berkaitan sambutan Maulidur Rasul?

 

Sambutan Maulidur Rasul adalah sambutan yang diadakan sempena hari kelahiran baginda Rasulullah SAW, menurut pandangan sebahagian ulamak seperti Imam al-Suyuti beliau menyatakan bahawa amalan tersebut adalah baik dan akan diberi pahala serta ganjarannya, kerana bertujuan melahirkan rasa cinta dan sayang kepada junjungan Nabi Muhammad SAW. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik, Rasulullah SAW bersabda:

 

“Tidak (sempurna) iman seseorang sehinggalah aku menjadi orang yang paling disayanginya melebihi ahli keluarganya sendiri dan hartanya dan manusia keseluruhannya”.

(Riwayat Muslim)

 

Salah satu tanda seseorang itu menyayangi Rasulullah SAW adalah dirinya merasa gembira dengan kelahiran Rasulullah SAW, serta berbangga dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

 

 

2.     Apakah amalan yang boleh dilakukan ketika menyambut Maulidur Rasul?

 

Antara amalan yang boleh untuk dilakukan adalah berpuasa. Diriwayatkan dari Abu Qatadah, sesungguhnya Rasulullah SAW pernah ditanya tentang puasa Isnin? Maka Baginda menjawab:

 

“Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan (al-Quran) ke atasku”.

(Riwayat Muslim)

 

Hadis di atas memberikan isyarat bahawa Rasulullah SAW berpuasa pada hari Isnin bagi mensyukuri nikmat Allah atas kelahirannya pada hari tersebut. Maka, jika Rasulullah SAW sendiri berpuasa pada hari Baginda dilahirkan begitulah juga yang sewajarnya dilakukan oleh umat Islam pada hari  ini, sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah kerana diutuskan Rasulullah SAW.

 

Berselawat juga antara amalan yang digalakkan pada sambutan Maulidur Rasul. Menurut pandangan Syeikhul Islam Sayid Dahlan menyatakan bahawa selawat dan berdiri kerana membesarkan Nabi adalah amalan baik lagi mulia. Perbuatan berhimpun di masjid atau di surau, di samping dapat solat fardu berjemaah. Demikian juga amalan berzanji yang dimaklumi mengandungi pujian tertinggi kepada Nabi Muhammad SAW dan diikuti dengan selawat kepada baginda tidak dapat dinafikan mengandungi banyak kebaikan di dalamnya. Sabda Baginda yang bermaksud:

“Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali Allah S.W.T berselawat ke atasnya 10 kali”

                        (Riwayat Muslim dan Abu Daud)

 

Ini antara amalan yang boleh dilakukan ketika menyambut Maulidur Rasul. Meskipun sambutan tersebut merupakan perkara yang baik, namun mestilah dipastikan ianya menepati syariat Islam baik dari sudut akidah, syariah dan akhlak Ahli Sunnah Wal Jamaah.  

 

 

3.     Terdapat pandangan yang mengatakan sambutan Maulidur Rasul termasuk di dalam perkara bida’ah yang mesti dielak?

 

Imam al-Suyuti meriwayatkan daripada Imam Baihaqi dalam kitab Manaqib al-Syafii. Imam al-Syafii berkata: Perkara-perkara baharu yang diadakan terbahagi kepada dua bentuk :

 

i.            Perkara yang diadakan menyalahi al-Quran, al-Sunnah, pandangan ulamak salaf dan ijmak, maka ia adalah bid’ah (perkara baharu) yang sesat

ii.          Jika perkara yang diadakan itu ada kebaikan yang tidak bertentangan dengan mana-mana daripada al-Quran, al-Sunnah, pandangan Ulamak Salaf Dan Ijmak, maka ia adalah bid’ah (perkara baharu) yang tidak tercela.

 

Oleh itu, berdasarkan pandangan ini sambutan Maulidur Rasul tidak termasuk di dalam perkara bid’ah (perkara baharu) yang menyesatkan. Selagimana ianya tidak bertentangan dengan syariat Islam.

 

4.     Mengapa tiada sambutan Maulidur Rasul pada zaman Sahabat dan golongan salaf?

 

Ketika masyarakat Islam semakin jauh dari zaman Rasulullah SAW, maka umat Islam juga semakin jauh dari ilmu dan sirah yang menceritakan tentang kehidupan Rasulullah SAW. Juga kesan dari perkembangan ilmu barat yang menghakis nilai-nilai Islam sehingga tersebar pandangan-pandangan songsang seperti fahaman Liberalisma, Pluralisma dan fahaman-fahaman lain. Maka muncul para ilmuwan Islam yang ingin memupuk rasa cinta kepada Rasulullah SAW dengan meletakkan tarikh kelahiran baginda sebagai hari sambutan Maulidur Rasul.

 

Adalah tidak wajar menilai sesuatu dengan hanya beralasan para salaf tidak melakukan adat dan tradisi sambutan Maulidur Rasul tanpa melihat perbezaan cabaran yang dihadapi oleh umat Islam antara dua zaman yang berlainan dalam memupuk kecintaan kepada Rasulullah SAW dalam masyarakat.

Susunan oleh: Bahagian Komunikasi Korporat MAIS

SOAL JAWAB BERKAITAN MAQASID SYARIAH

1.    Apakah yang dimaksudkan dengan Maqasid Syariah?

 

Perkataan maqasid dari sudut bahasa merupakan jamak kepada perkataan maqsad yang diambil dari kata kerja ( قصد ) yang membawa maksud; pegangan, punca, sasaran, kelurusan, keadilan dan kesederhanaan. Dengan lain perkataan, istilah ini merujuk kepada maksud ‘objektif’ yang membawa erti berasaskan kenyataan atau fakta sebenar.

 

Manakala Syariah berasal daripada perkataan syara’a ( شرع ) yang

bermaksud sumber air yang tidak pernah putus dan terus mengalir, memulai sesuatu pekerjaan dan menjelaskan, menerangkan serta menunjukkan jalan. Dari segi istilah, ia merangkumi keseluruhan apa yang diturunkan oleh Allah SWT kepada umat manusia melalui Rasul-Nya nabi Muhammad SAW.

 

Secara umum maqasid syariah seperti yang diterangkan oleh ulama usul fiqh ianya merupakan makna dan tujuan yang dikehendaki syara’ dalam mensyariatkan sesuatu hukum bagi menjamin kemaslahatan umat manusia.

 

Maqasid syariah juga mempunyai kepentingan yang tersendiri dalam mengukur dan mempertimbangkan sesuatu perkara demi menjamin kemaslahatan dan menolak keburukan. Pertimbangan yang menjadi kayu pengukur ini semestinya berlandaskan nilai-nilai al-Quran dan al-Sunnah yang menjadi asas bagi memastikan ianya berada di dalam kerangka syariat.

 

2.    Apakah pembahagian Maqasid Syariah?

 

Al-Daruriyat

Al-daruriyat merupakan objektif yang mana kehidupan agama dan keduniaan manusia tertegak dengannya, Jika sekiranya ia tidak ada nescaya hidup manusia di dunia ini akan menghadapi kesukaran baik di dunia mahupun akhirat.

 

Al-daruriyat yang asasi ini ada lima iaitu memelihara agama, memelihara nyawa, memelihara akal, memelihara keturunan dan memelihara harta benda. Setiap urusan agama dibina atas perkara-perkara ini dan hanya memeliharanya sahajalah maka segala urusan individu dan masyarakat akan berjalan dengan baik.

 

Para ulama’ Islam telah membuat ketetapan, wujudnya tertib antara lima jenis keutamaan tersebut, iaitu kepentingan agama diletak pada kedudukan tertinggi dan lebih utama dari kepentingan nyawa, sementara kepentingan nyawa mestilah diutamakan dari kepentingan akal, kepentingan akal mestilah diutamakan dari kepentingan keturunan dan kepentingan keturunan pula diutamakan dari kepentingan harta.

 

Sebagai contoh, Allah telah mewajibkan pelaksanaan rukun Islam yang lima. Untuk menjaga agama, Islam telah mewajibkan jihad dan mengenakan siksa ke atas mereka yang murtad. Oleh yang demikian, terpeliharalah konsep beragama dan umat Islam dari kerosakan.

 

Bagi memelihara kesinambungan generasi dan kewujudan keturunan yang baik maka Islam mensyariatkan perkahwinan. Bagi memelihara nyawa manusia pula, maka Allah mewajibkan untuk memakan atau meminum sesuatu yang asalnya haram dalam keadaan yang memudharatkan nyawa, bagi menjamin keselamatan nyawa tersebut. Demikian pula halnya dalam situasi  pembunuhan, Allah telah mewajibkan hukuman qisas atau diat atau kaffarat terhadap pembunuh.

 

Al-Hajiyat

Al-hajiyat ialah kepentingan yang diperlukan oleh manusia bagi memberi kemudahan kepada mereka dan menghilangkan kesempitan yang membawa kepada kesulitan dan kesukaran dengan ketiadaannya. Manakala ketiadaannya pula tidaklah sehingga membawa kepincangan dalam hidup manusia sebagaimana ketiadaan al-daruriyat, tetapi ia akan membawa kepada kesukaran dalam kehidupan mereka. Sebagai contoh, disyariatkan beberapa kemudahan (rukhsah) seperti solat qasar dan jama’ bagi orang yang musafir, diharuskan tidak berpuasa Ramadan bagi orang yang sakit atau musafir, menunaikan solat dalam keadaan duduk bagi orang yang tidak mampu berdiri, menyapu khuf sebagai ganti basuh kaki ketika berwudhu’, bermusafir dan lain-lain lagi.

 

Al-Tahsiniyat

Al-tahsiniyat merupakan kepentingan yang menghendaki seseorang berpegang dengan akhlak-akhlak yang baik dan budi pekerti yang mulia. Ketiadaan al-Tahsiniyat tidaklah membawa kepada kesukaran hidup manusia sebagaimana ketiadaan al-daruriyat dan al-hajiyat, tetapi ia membawa kepada kehidupan yang tidak elok pada pandangan orang-orang yang berakal.

 

Contohnya, Islam mensyariatkan bersuci dan menutup aurat di dalam solat, memakai bau-bauan semasa berada di dalam masjid dan di tempat perhimpunan orang ramai dan sebagainya. Dalam urusan muamalat, Islam mengharamkan sebarang urusan jual beli yang mendatangkan mudharat seperti dadah, najis, bangkai dan sebagainya yang berkaitan.  Demikian juga halnya, Islam megharamkan jual-beli atas jual-beli orang lain dan juga pinangan atas pinangan orang lain.

 

Dalam adat pula, Islam mengajar adab-adab makan dan minum, mengharamkan memakan makanan yang keji dan memudharatkan, sebagaimana Islam melarang melampaui batas dalam makan minum dan berpakaian dan sebagainya.

 

3.    Apakah implikasi jika tidak memahami Maqasid Syariah?

 

Implikasi tidak memahami Maqasid Syariah adalah seperti berikut:

a) Akan berlaku kesalahan dalam mendahulukan maqasid yang sepatutnya dikemudiankan dan begitulah sebaliknya;

 

b)  Kesilapan dalam menentukan hukum, apabila menjadikan maqasid syariah sebagai sumber rujukan utama; dan

 

c)  Hilang kesempurnaan serta hikmah dalam syariat Islam.

1.    Susunan oleh : BAhagian Komunikasi Korporat MAIS

      ADAKAH TERDAPAT HUKUMAN  SEBAT DI DALAM SYARIAH ISLAM?

 

Ya, hukuman sebat terdapat di dalam syariat Islam dan ia juga merupakan sebahagian daripada hukum yang diturunkan oleh Allah SWT. Hukuman ini bukanlah semata-mata untuk menghukum, menyakiti atau mencederakan seseorang tetapi tujuannya adalah untuk memberikan pengajaran di samping memberi amaran kepada umat Islam agar menjauhi diri daripada perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

 

Perkataan sebat merupakan terjemahan daripada bahasa Arab iaitu al- jald yang bermaksud memukul atau mendera, manakala kata namanya. Dalam bahasa Melayu sebat ialah memukul dengan benda yang halus atau lentur seperti rotan, lidi dan lain-lain.

 

Hukuman yang disebutkan oleh Allah SWT berkaitan sebat terdapat di dalam bentuk hukuman terhadap kesalahan yang boleh dikenakan Hudud (hadd), antaranya sebagaimana Firman Allah SWT surah an-Nur ayat 2 yang bermaksud:

 

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat”.

 

Begitu juga dengan firman Allah di dalam ayat seterusnya iaitu ayat 4 dari surah an-Nur yang bermaksud:

 

Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik”.

 

Dua ayat di atas merupakan antara contoh yang menyatakan bahawa hukuman sebat wujud di dalam syariat Islam, ianya bukan hukuman yang diada-adakan bahkan ianya merupakan perintah Allah SWT terhadap manusia.

 

2.     SELAIN HUKUMAN SEBAT KE ATAS KESALAHAN HUDUD (HADD), ADAKAH MEMUKUL SESEORANG DIBENARKAN DI DALAM ISLAM?

 

Secara umumnya wajib bagi seorang muslim untuk berbuat baik sesama muslim. Perbuatan yang boleh menyakiti makhluk lain dalam bentuk apa sekalipun boleh menyebabkan seseorang itu melakukan perbuatan yang diharamkan di dalam Islam.

 

Namun ada situasi-situasi tertentu yang dibenarkan oleh Islam untuk memukul atau menyebat seseorang dengan tujuan mendidik. Perkara ini  di sebutkan oleh Allah SWT di dalam surah an-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud:

 

..”Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya)”..

 

Di dalam hadis Rasulullah SAW pelaksanaan sebat atau rotan ini juga dirakamkan di dalam hadis yang masyhur tentang mendidik anak- anak bermula pada usia 7 tahun mendirikan solat dan dipukul atau dirotan apabila berusia 10 tahun. Sabda Rasulullah SAW diriwayatkan oleh Abdullah Bin ‘Amru RA yang bermaksud :

 

“Suruhlah anak-anak kamu yang berumur 7 tahun untuk mendirikan solat, dan pukullah mereka (apabila dia tidak mahu mendirikan solat) apabila berumur 10 tahun”

(Riwayat Abu Daud)

 

 

Terdapat satu persamaan di dalam kedua-dua nas di atas iaitu pukulan atau sebatan tersebut dilakukan setelah melalui proses pendidikan yang betul sebagaimana ditunjukkan di dalam nas-nas di atas, setelah itu barulah proses sebat atau pukul dilakukan dengan syarat ianya pukulan yang tidak mencederakan atau menyeksa.

 

3.     ADAKAH SEBATAN SYARIAH SAMA SEPERTI SEBATAN SIVIL?

 

Kaedah sebatan Syariah jauh berbeza dengan sebatan Sivil. Syarat sebatan Syariah tidak boleh mencederakan pesalah. Perbezaan jelas ketara dari segi kaedah hayunan. Bagi sebatan syariah, hayunannya agak perlahan seolah-olah buku yang diletakkan di bawah ketiak tidak boleh jatuh semasa hayunan dibuat. Oleh sebab itu, 100 kali sebatan Syariah masih belum menyamai dengan 1 kali sebatan Sivil.

 

Dari segi saiz rotan yang digunakan juga  agak berbeza antara sebatan syariah dan sivil. Bagi sebatan syariah ukur lilit rotan yang digunakan agak kecil berbanding ukur lilit rotan sebatan sivil. Pelaksanaan sebatan juga ada perbezaan. Bagi sebatan Syariah, pesalah dikenakan pakaian yang menutupi anggota badan termasuklah anggota badan yang akan disebat. Berbeza dengan sebatan sivil di mana anggota badan yang akan disebat dibiarkan terdedah dan ini jelas lebih mengaibkan pesalah.

Susunan oleh: Bahagian Komunikasi Korporat MAIS

Antara anugerah agung terhadap manusia adalah diciptakan sebagai makhluk yang berakal. Disebabkan keistimewaan akal yang dimiliki oleh manusia ini, Islam meletakkan ‘hifz al-Aql’ iaitu memelihara akal sebagai salah satu maqasid syariah (objektif syarak). Apa sahaja perkara yang boleh merosakkan fungsi akal seperti meminum minuman yang memabukkan adalah haram.

Melalui wasilah akal yang dimilikinya, manusia mampu terbang tinggi di udara, mahupun menyelam jauh ke dasar lautan, bahkan berupaya menundukkan haiwan liar di hutan belantara. Disebabkan anugerah akal ini, manusia dipertanggungjawabkan sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi.

Walau sehebat mana pun akal yang dianugerahkan, manusia seharusnya sedar bahawa akal bukan segala-galanya. Dalam ertikata lain, keterbatasan akal harus diakui terutamanya dalam perkara-perkara yang tidak mampu dicapai oleh akal manusia seperti hikmah-hikmah dalam sesetengah perintah dan larangan Allah kepada umat manusia, persoalan hari akhirat dan seumpama dengannya. Justeru, kekurangan akal ditampung oleh kesempurnaan wahyu. Persoalan yang mungkin akan timbul ialah, apabila sesuatu perintah wahyu tidak dapat dicernakan oleh akal, bagaimanakah sikap yang seharusnya diambil oleh seorang muslim?

Barangkali sebahagian ibadah-ibadah rutin yang dilakukan dalam kehidupan seharian dapat dijelaskan hikmahnya dengan mudah, contohnya solat lima waktu yang dilakukan setiap hari adalah bertujuan untuk mengingati Allah. Demikian juga dengan ibadah puasa, selain untuk memupuk sifat taqwa, puasa mendidik manusia supaya bersikap lebih prihatin terhadap golongan yang miskin. Tujuan yang sama juga dilihat melalui  kewajipan berzakat, di mana umat Islam yang kaya berkongsi sedikit kesenangan dari harta yang diperolehinya dengan orang-orang yang layak menerimanya. Walau bagaimanapun,  dalam ibadah haji, kemungkinan timbul persoalan, kenapa perlu bermusafir ke Mekah dengan perbelanjaan yang begitu tinggi serta tempoh masa yang lama, semata-mata untuk menyatakan pengabdian kepada Allah? Tidak cukupkah ibadah haji dilakukan sahaja di tanah air masing-masing sebagaimana ibadah-ibadah yang lain? Di sinilah manusia tidak boleh mencari jawapan semata-mata dengan akalnya, tetapi harus tunduk kepada perintah wahyu.

Demikian juga dengan sikap seorang Muslim apabila berdepan dengan larangan-larangan Allah yang kemungkinannya dilihat bertentangan dengan inspirasi akal dan kebebasan manusia. Contohnya larangan melakukan hubungan seks sesama jenis sama ada melibatkan lelaki sesama lelaki mahupun wanita sesama mereka, walaupun atas kemahuan dan kerelaan masing-masing. Tidakkah larangan ini menafikan hak dan kebebasan manusia untuk membuat pilihan secara bebas? Situasi ini menuntut manusia tanpa teragak-agak mendahulukan perintah wahyu berbanding meraikan pertimbangan akal.

Pengharaman daging khinzir bagi umat Islam seringkali dijustifikasikan dengan pelbagai alasan. Secara umumnya hujah-hujah yang dikemukakan bagi mewajarkan pengharaman ini ialah kerana terdapat virus yang berpotensi mendatangkan pelbagai penyakit berbahaya kepada manusia. Persoalan yang mungkin timbul ialah, seandainya teknologi moden berjaya menyingkirkan semua jenis virus yang terdapat didalamnya, adakah status daging babi berubah menjadi halal?  Penilaian akal sahaja mungkin boleh mewajarkan keharusannya, tetapi wahyu tetap melarangnya sekalipun daging babi diproses sehingga menyamai daging lembu.

Berdasarkan sebahagian contoh yang dinyatakan, seringkali terdapat segolongan manusia yang mendahulukan peranan akal berbanding perintah wahyu. Sesungguhnya cara berfikir sebegini adalah salah dan boleh menjerumuskan manusia ke kancah kesesatan. Ini adalah kerana apa yang kelihatannya baik pada neraca akal, tidak semestinya baik pada pertimbangan wahyu, begitu juga sebaliknya.

Manusia hendaklah  mengambil inspirasi dan iktibar dari kisah Nabi Ibrahim ‘alaihissalam yang diuji dengan perintah Allah yang dilihat sangat tidak masuk akal, iaitu menyembelih anaknya Nabi Ismail ‘alaihissala,  tetapi sebagai seorang hamba Allah yang taat, Nabi Ibrahim ‘alaihissalam tanpa teragak-agak berusaha melaksanakan perintah Allah, dengan kerelaan dan kerjasama yang penuh dari Nabi Ismail ‘alaihissalam. Natijah ketaatan mereka dalam menyahut perintah Allah, Nabi Ismail ‘alaihissalam digantikan dengan seekor Kibash.

Justeru, dalam mendepani suara-suara sumbang yang menyeru supaya manusia bebas beraspirasi dengan akalnya, umat Islam seharusnya sedar bahawa akal tanpa suluhan wahyu bakal menjahanamkan manusia dan sifat kemanusiaan. Seorang Muslim yang sedar, hendaklah meletakkan neraca pertimbangan yang jelas dalam mindanya bahawa akal tidak boleh diberikan sepenuh peranan dalam menentukan nilai-nilai hidup seorang manusia. Sebaliknya, akal memerlukan suluhan wahyu bagi memandunya membuat keputusan dan menentukan tindakan agar tidak tersesat dari landasan kebenaran yang digariskan oleh Islam.