Rabu, 18 Syaaban 1440 / 25 April 2019

Merungkai Konflik Wanita Gantung Tak Bertali

Susunan oleh: Bahagian Komunikasi Korporat MAIS

“Pelaksanaan Hakam: Merungkai Konflik Wanita Gantung Tak Bertali”

 

Apakah yang dimaksudkan dengan Hakam?

 

Perkataan Hakam telah disebut secara umum dalam Al-Quran, Surah an-Nisa’, melalui ayat 58 yang bermaksud “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”.

 

Berdasarkan kepada Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014, Hakam bermaksud seseorang penimbang tara yang diberi kuasa oleh suami atau isteri atau oleh Mahkamah untuk menyelesaikan perkelahian (shiqaq) antara suami dan isteri dalam perkahwinan.

 

Pelantikan Hakam ini biasanya berlaku dalam kes seorang isteri yang menuntut cerai dengan talaq terhadap suaminya di Mahkamah  Syariah, tetapi suami enggan untuk menceraikan isterinya itu.  Pelantikan Hakam ini juga boleh berlaku apabila seorang suami yang ingin menceraikan isterinya di Mahkamah  Syariah, tetapi  isteri tidak bersetuju untuk diceraikan. Tuntutan penceraian ini pada kebiasaannya disebabkan oleh banyak perkara termasuklah tiada lagi “mawaddah” dan “rahmah” dalam rumah tangga pasangan tersebut.

 

Dalam keadaan sebegini, apabila Mahkamah berpuas hati bahawa perbalahan (shiqaq) benar-benar wujud dan sentiasa berlaku, Mahkamah boleh melantik dua orang Hakam atau penimbangtara yang akan bertindak bagi pihak suami dan isteri yang berkenaan bagi menyelesaikan perbalahan (shiqaq) tersebut dalam suatu prosiding yang dinamakan sebagai Majlis Tahkim.

 

Majlis Tahkim adalah suatu proses yang melibatkan pihak-pihak yang bertikaian yang melantik seseorang untuk menjadi Hakam bagi menyelesaikan pertikaian yang timbul di antara mereka.  Majlis Tahkim ini hampir menyamai dengan proses “al-qadha’” atau “kehakiman”, namun, dari segi kedudukannya, ia adalah lebih rendah dari “al-qadha’” atau “kehakiman”.

 

Apakah sandaran Hukum Syarak dan undang-undang bagi pelaksanaan Hakam?

 

Pelantikan Hakam ini telah disebut di dalam al-Quran, melalui Surah an-Nisa’, ayat 35 yang bermaksud  “Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah seorang pendamai dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua pendamai itu menghendaki perdamaian, nescaya Allah berikan taufik kepada suami isteri itu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi amat mendalam pengetahuanNya.”.

 

Melalui ayat tersebut, Allah S.W.T. telah menjelaskan tentang cara yang boleh digunakan dalam menyelesaikan masalah perbalahan (shiqaq) yang berpanjangan antara suami dan isteri.

 

Terdapat dua pendapat yang berbeza mengenai pelaksanaan kuasa Hakam. Pendapat pertama, daripada Ulama Mazhab Hanafi (al-Hanafiyyah), Ulama Mazhab Shafie (as-shafi'iyyah), salah satu pendapat Imam Ahmad ibn Hanbal dan Dzohiriyyah, tidak mengharuskan seseorang isteri menuntut cerai dengan alasan shiqaq. Sebaliknya, Hakim yang mendengar tuntutan tersebut hendaklah melantik Hakam bagi suami dan Hakam bagi isteri dengan tujuan untuk mendamaikan mereka. Hakim juga boleh mengarahkan suami agar tidak berlaku zalim terhadap isterinya. 

 

Pendapat kedua, daripada Ulama Mazhab Maliki (al-Malikiyyah) dan pandangan Imam Ahmad ibn Hanbal dalam riwayat kedua, mengharuskan seseorang isteri menuntut cerai dengan alasan shiqaq. Jika suami enggan untuk menceraikan isteri setelah disabitkan wujud dharar atau shiqaq oleh Hakim, maka Hakim boleh menceraikan isteri tersebut. Dalam hal ini, memandangkan Hakim telah melantik Hakam sebagai wakilnya dalam Majlis Tahkim yang melibatkan suami isteri yang sentiasa berbalah, maka Hakam tersebut mempunyai kuasa untuk menceraikan suami isteri tersebut.

 

Berdasarkan kepada pandangan kedua di atas, peruntukan seksyen 48 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 1984 telah memasukkan Hakam sebagai salah satu cara yang boleh dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah bagi membubarkan perkahwinan suami isteri yang telah hidup dalam keadaan shiqaq yang berpanjangan yang memberi kemudaratan kepada kedua-dua pihak. Malah, peruntukan ini juga telah dikekalkan dalam undang-undang yang baharu, iaitu Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Bagi memperincikan tatacara pelaksanaan Hakam di Negeri Selangor, Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014 telah digubal dan diwartakan. Kesemua peruntukan undang-undang yang melibatkan Hakam tersebut telah diwartakan bagi memelihara maslahat umat Islam. Ini sangat bertepatan dengan kehendak Syarak dan selaras dengan kaedah-kaedah fiqh yang bermaksud “kemudaratan hendaklah disingkirkan” dan “tindakan pemerintah ke atas rakyatnya tertakluk kepada maslahah.”.

 

Bagaimanakah Hakam merungkai konflik wanita yang digantung tak bertali?

 

Jika salah satu pihak daripada pasangan perkahwinan tidak bersetuju dengan tuntutan cerai yang difailkan, mahkamah perlu menyiasat sama ada telah wujud shiqaq yang berpanjangan dalam perkahwinan tersebut. Antara bentuk perbalahan yang boleh disabitkan sebagai shiqaq termasuklah keadaan suami isteri yang sering bergaduh sehingga menimbulkan kesukaran untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing dan saling tuduh menuduh tidak melaksanakan hak sebagai suami isteri, saling tuduh-menuduh bahawa suami isteri itu mempunyai hubungan sulit dengan perempuan atau lelaki yang bukan mahram atau  perkelahian yang kerap hingga menyebabkan pukul-memukul antara mereka. 

 

Jika mahkamah berpuas hati bahawa shiqaq telah berlaku, mahkamah akan mengarahkan suami isteri melantik Hakam masing-masing dari kalangan saudara karib mereka yang mempunyai pengetahuan asas dalam hal kekeluargaan dan Hukum Syarak serta tahu hal keadaan suami isteri itu. Selepas pelantikan tersebut, Hakam akan mengendalikan sesi pertemuan dengan suami isteri tersebut bagi menamatkan shiqaq antara suami dan isteri dengan cara mendamaikan mereka atau memisahkan kedua-duanya sama ada dengan talaq atau dengan khul’. Dalam Majlis Tahkim tersebut, Hakam suami akan cuba mendapatkan kuasa penuh daripada suami untuk menceraikan isteri dengan talaq jika perdamaian gagal dicapai dan Hakam isteri pula akan cuba mendapatkan kuasa penuh daripada isteri untuk menerima lafaz khul’ daripada Hakam suami jika suami bersetuju cerai dengan cara khul’.

 

Selepas selesai Majlis Tahkim tersebut, kedua-dua Hakam akan melaporkan kepada mahkamah keputusan daripada Majlis Tahkim tersebut. Jika suami isteri tersebut berjaya didamaikan, mahkamah akan memerintahkan suami isteri tersebut untuk berdamai dan kembali hidup sebagai suami isteri. Jika Hakam gagal mendamaikan suami isteri tersebut dan gagal mendapatkan kuasa penuh daripada suami untuk menceraikan isteri dengan talaq, mahkamah akan memecat Hakam yang dilantik dan melantik Hakam baru bagi suami dan isteri dari kalangan Anggota Panel Hakam Selangor yang terlatih dan mempunyai kemahiran dalam Hukum Syarak dan undang-undang. Di peringkat ini, Hakam akan berusaha untuk mendamaikan suami dan isteri tersebut. Namun, sekiranya Hakam gagal untuk mendamaikan suami isteri tersebut, Hakam telah diberi kuasa oleh Hakim untuk mentalaqkan isteri jika punca shiqaq adalah disebabkan oleh pihak suami atau melafazkan talaq khul’ kepada isteri jika shiqaq disebabkan oleh isteri. Dengan cara itu terbubarlah perkahwinan secara sah menurut undang-undang dan Hukum Syarak.

 

Nota: Maklumat ini hanyalah maklumat umum untuk panduan dan pemahaman masyarakat dan tidak boleh dijadikan sebagai hujah di Mahkamah Syariah.