Ahad, 12 Syawal 1440 / 17 Jun 2019

SEBATAN DALAM ISLAM

1.    Susunan oleh : BAhagian Komunikasi Korporat MAIS

      ADAKAH TERDAPAT HUKUMAN  SEBAT DI DALAM SYARIAH ISLAM?

 

Ya, hukuman sebat terdapat di dalam syariat Islam dan ia juga merupakan sebahagian daripada hukum yang diturunkan oleh Allah SWT. Hukuman ini bukanlah semata-mata untuk menghukum, menyakiti atau mencederakan seseorang tetapi tujuannya adalah untuk memberikan pengajaran di samping memberi amaran kepada umat Islam agar menjauhi diri daripada perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

 

Perkataan sebat merupakan terjemahan daripada bahasa Arab iaitu al- jald yang bermaksud memukul atau mendera, manakala kata namanya. Dalam bahasa Melayu sebat ialah memukul dengan benda yang halus atau lentur seperti rotan, lidi dan lain-lain.

 

Hukuman yang disebutkan oleh Allah SWT berkaitan sebat terdapat di dalam bentuk hukuman terhadap kesalahan yang boleh dikenakan Hudud (hadd), antaranya sebagaimana Firman Allah SWT surah an-Nur ayat 2 yang bermaksud:

 

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat”.

 

Begitu juga dengan firman Allah di dalam ayat seterusnya iaitu ayat 4 dari surah an-Nur yang bermaksud:

 

Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik”.

 

Dua ayat di atas merupakan antara contoh yang menyatakan bahawa hukuman sebat wujud di dalam syariat Islam, ianya bukan hukuman yang diada-adakan bahkan ianya merupakan perintah Allah SWT terhadap manusia.

 

2.     SELAIN HUKUMAN SEBAT KE ATAS KESALAHAN HUDUD (HADD), ADAKAH MEMUKUL SESEORANG DIBENARKAN DI DALAM ISLAM?

 

Secara umumnya wajib bagi seorang muslim untuk berbuat baik sesama muslim. Perbuatan yang boleh menyakiti makhluk lain dalam bentuk apa sekalipun boleh menyebabkan seseorang itu melakukan perbuatan yang diharamkan di dalam Islam.

 

Namun ada situasi-situasi tertentu yang dibenarkan oleh Islam untuk memukul atau menyebat seseorang dengan tujuan mendidik. Perkara ini  di sebutkan oleh Allah SWT di dalam surah an-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud:

 

..”Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya)”..

 

Di dalam hadis Rasulullah SAW pelaksanaan sebat atau rotan ini juga dirakamkan di dalam hadis yang masyhur tentang mendidik anak- anak bermula pada usia 7 tahun mendirikan solat dan dipukul atau dirotan apabila berusia 10 tahun. Sabda Rasulullah SAW diriwayatkan oleh Abdullah Bin ‘Amru RA yang bermaksud :

 

“Suruhlah anak-anak kamu yang berumur 7 tahun untuk mendirikan solat, dan pukullah mereka (apabila dia tidak mahu mendirikan solat) apabila berumur 10 tahun”

(Riwayat Abu Daud)

 

 

Terdapat satu persamaan di dalam kedua-dua nas di atas iaitu pukulan atau sebatan tersebut dilakukan setelah melalui proses pendidikan yang betul sebagaimana ditunjukkan di dalam nas-nas di atas, setelah itu barulah proses sebat atau pukul dilakukan dengan syarat ianya pukulan yang tidak mencederakan atau menyeksa.

 

3.     ADAKAH SEBATAN SYARIAH SAMA SEPERTI SEBATAN SIVIL?

 

Kaedah sebatan Syariah jauh berbeza dengan sebatan Sivil. Syarat sebatan Syariah tidak boleh mencederakan pesalah. Perbezaan jelas ketara dari segi kaedah hayunan. Bagi sebatan syariah, hayunannya agak perlahan seolah-olah buku yang diletakkan di bawah ketiak tidak boleh jatuh semasa hayunan dibuat. Oleh sebab itu, 100 kali sebatan Syariah masih belum menyamai dengan 1 kali sebatan Sivil.

 

Dari segi saiz rotan yang digunakan juga  agak berbeza antara sebatan syariah dan sivil. Bagi sebatan syariah ukur lilit rotan yang digunakan agak kecil berbanding ukur lilit rotan sebatan sivil. Pelaksanaan sebatan juga ada perbezaan. Bagi sebatan Syariah, pesalah dikenakan pakaian yang menutupi anggota badan termasuklah anggota badan yang akan disebat. Berbeza dengan sebatan sivil di mana anggota badan yang akan disebat dibiarkan terdedah dan ini jelas lebih mengaibkan pesalah.