KEPUTUSAN KES SEMAKAN KEHAKIMAN MELIBATKAN SIS FORUM MALAYSIA DAN MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR BERHUBUNG FATWA LIBERALISME DAN PLURALISME AGAMA

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 Ogos 2019 telah menolak permohonan oleh SIS Forum (Malaysia), Zainah Mahfuzah binti Anwar dan Mohd Zaid bin Ibrahim dalam kes semakan kehakiman berhubung dengan Fatwa Liberalisme dan Pluralisme Agama  oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang telah diwartakan pada 17 Julai 2014.

Dalam penghakimannya, Y.A Datuk Nordin Hasan, Hakim Mahkamah Tinggi tersebut memutuskan bahawa Fatwa Liberalisme dan Pluralisme Agama tersebut telah dibuat dan diwartakan mengikut prosedur dan kehendak Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Justeru itu, fatwa tersebut adalah mengikat dan boleh dikuatkuasakan kepada semua umat Islam di Negeri Selangor termasuk SIS Forum dan dua pemohon yang lain iaitu Zainah Mahfuzah binti Anwar dan Mohd Zaid bin Ibrahim. Selain itu mahkamah juga memutuskan bahawa fatwa tersebut tidak bertentangan dengan Perkara 8 dan 10 Perlembagaan Persekutuan dan segala pertikaian berhubung fatwa adalah perkara di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, di mana Mahkamah Sivil tidak berbidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan isu tersebut. 

Pihak MAIS memanjangkan kesyukuran di atas keputusan mahkamah tersebut dan MAIS kekal tegas dengan pendirian bahawa fatwa yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor seharusnya berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah kerana fatwa merupakan persoalan Hukum Syarak dan Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan perkara ini. Pihak MAIS juga menasihatkan semua orang Islam dalam negeri Selangor untuk mematuhi semua fatwa yang telah diwartakan terutamanya yang berkaitan dengan fahaman-fahaman yang menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar. Ini kerana, tindakan melanggar atau mempertikaikan fatwa yang telah diwartakan adalah merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Pihak MAIS mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua umat Islam yang  memberikan sokongan dan mendoakan kejayaan pihak MAIS, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor khususnya barisan peguam yang terlibat iaitu Pn. Majdah binti Muda dan Tn. Yusfarizal bin Yusoff yang mewakili pihak MAIS, Datuk Sulaiman bin Abdullah dan Dato’ Zainul Rijal bin Abu Bakar yang mewakili Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan YB Dato’ Masri bin Daud, Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor yang bertindak bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor.

Y.A.D. DATO’ SETIA HAJI MOHAMMED KHUSRIN BIN HAJI MUNAWI

S.S.I.S., A.S.A., P.P.T.

PENGERUSI MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor