PAUTAN
PANTAS

AGENSI KERAJAAN & NEGERI

MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI

POPULAR

PAUTAN POPULAR

MEDIA SOSIAL
Waktu Solat
Kajian Kepuasan Pelanggan MAIS

Perkhidmatan Wasiat

MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR (MAIS)

_

Perkhidmatan Wasiat

APA ITU WASIAT?
Wasiat telah lama diamalkan dalam tamadun manusia. Dalam masyarakat Rome dahulu, ketua keluarga mempunyai kuasa ke atas harta dengan cara wasiat memberikan harta kepada sesiapa sahaja dan menghalang anaknya daripada menjadi pewaris. Manakala dalam masyarakat Arab Jahiliah pula mereka membuat wasiat sebagai satu kebanggaan dan membiarkan kerabat dalam kefakiran.

Islam telah memperbetulkan keadaan tersebut dengan meletakkan asas kebenaran dan keadilan dalam membuat wasiat.

Pada permulaan Islam, berwasiat adalah suatu kewajipan untuk ibu bapa dan kaum kerabat yang terdekat berdasarkan Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Diwajibkan ke atas kamu, apabila seseorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiatlah untuk ibu-bapa dan kaum kerabatnya secara ma’ruf (ini adalah) kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa”.
(Surah Al-Baqarah:180)

Kemudian, kewajipan berwasiat telah dimansuhkan hukumnya apabila turunnya ayat mawarith dalam surah Al-Nisa,  iaitu yang menerangkan hak-hak dan pembahagian pusaka melalui hukum faraid contohnya melalui ayat yang bermaksud: “Bagi orang laki-laki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, dan bagi orang wanita ada hak bahagian (pula) dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan”.
(Surah Al-Nisa’: 7)

Manakala Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud: “Tidak wajar bagi seseorang Muslim yang mempunyai sesuatu untuk diwasiatkan, membiarkan dua malam berlalu tanpa menulis wasiatnya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Melalui hadis di atas, jelas menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. amat menggalakkan wasiat dibuat bila mana telah terlintas di hati untuk membuat sesuatu wasiat.

KAEDAH BERWASIAT
Wasiat merupakan dokumen penyelesaian pusaka berbentuk arahan kepada Wasi untuk menyempurnakan segala hasrat pewasiat termasuklah melaksanakan segala strategi perancangan dan pengagihan harta selepas kematian.

Ia mempunyai syarat-syarat tertentu iaitu wasiat kepada bukan waris dan ahli waris yang terlindung daripada menerima harta pusaka melalui faraid. Hanya satu pertiga (1/3) daripada baki harta selepas ditolak segala hutang yang masih belum diselesaikan boleh diwasiatkan. Manakala dua pertiga (2/3) daripada harta pewasiat adalah merupakan hak ahli waris menurut Hukum Faraid. Pewasiat boleh mewasiatkan hartanya melebihi satu pertiga (1/3) sekiranya semua ahli waris bersetuju dengan pembahagian tersebut selepas kematian pewasiat. Pewasiat juga boleh mewasiatkan hartanya kepada ahli waris yang layak menerima faraid sekiranya dipersetujui oleh ahli-ahli waris yang lain selepas kematian pewasiat. Ia sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Tidak harus wasiat kepada waris kecuali diizinkan oleh waris yang lain.”
(Riwayat Abu Daud)