Khamis, 20 Zulhijjah 1440 / 22 Ogos 2019

Pengurusan Wang Tidak Patuh Syariah

PENGGUNAAN DAN PENGAGIHAN WANG TIDAK PATUH SYARIAH

Keharusan penggunaan harta yang haram digunakan untuk tujuan maslahah umum juga dapat dilihat berdasarkan peristiwa sewaktu Rasulullah S.A.W. menyuruh menyedekahkan kambing yang diberikan kepadanya. Kambing tersebut diambil dari sumber yang haram (diambil tanpa diketahui siapa pemiliknya), lalu Rasulullah S.A.W. menyuruh kambing tersebut disembelih dan diberikan kepada tawanan perang.

Sesuatu harta yang diperolehi dari sumber yang haram juga tidak wajar dimusnahkan terutamanya sekiranya harta-harta tersebut mempunyai manfaat. 

Walau bagaimanapun, dalam apa jua keadaan orang yang bersedekah dengan harta yang haram atau syubhah ke jalan kebajikan tetap tidak mendapat pahala sedekah, sebaliknya akan mendapat pahala dari sudut lain iaitu beroleh pahala disebabkan usahanya untuk melupuskan harta yang haram dan tidak menggunakan harta tersebut untuk dirinya dan ini adalah pahala disisi Allah S.W.T.

Manakala sumbangannya adalah mekanisme kebajikan yang menyampaikan harta yang mengambil faedah dari sedekah itu dan inilah pahala atas usahanya dengan izin Allah S.W.T.


Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam 1971


Di negara kita Malaysia, ketetapan berkenaan penyaluran wang-wang haram telah diputuskan sejak dahulu lagi iaitu melalui keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Kali Ke-3 pada 21hb. Jun 1971 yang telah memutuskan:

i.    Faedah yang diperolehi daripada wang simpanan yang dibuat oleh institusi Islam atau perniagaan atau badan kebajikan yang dianggotai oleh orang-orang Islam dalam mana-mana bank harus diterima oleh badan-badan itu atas alasan kecemasan ekonomi orang-orang Islam pada masa ini.

ii.   Faedah yang diperolehi daripada wang simpanan seseorang Muslim dalam mana-mana bank harus diterima olehnya atas alasan kerana kecemasan itu juga, tetapi wang faedah itu hendaklah dimasukkan dalam Baitulmal atau untuk kegunaan maslahah umum.

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam 2009

Melalui keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-87, Majlis Kebangsaaan bagi Hal Ehwal Islam pada 23-25 Jun 2009, telah dinyatakan iaitu:

“Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

i. Diserahkan kepada baitulmal untuk maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;

ii.   Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau

iii. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada baitulmal”. 


Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti


Baitulmal juga telah disenaraikan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti dalam ketetapannya berkenaan Senarai Sekuriti Patuh Syariah pada 20hb. November 2008 yang mana antara lain menyebut:

i.    “Sekuriti patuh syariah” yang kemudiannya bertukar status kepada “tidak patuh syariah”        
“… Walau bagaimanapun, sebarang lebihan keuntungan modal yang diperoleh daripada penjualan selepas hari pengumuman pada harga pasaran yang lebih tinggi daripada harga penutup pada hari pengumuman, hendaklah disalurkan kepada badan kebajikan atau baitulmal”.

ii.    Sekuriti patuh syariah
“… Sebarang keuntungan dalam bentuk keuntungan modal atau dividen yang diperoleh ketika atau selepas pelupusan sekuriti berkenaan hendaklah disalurkan kepada badan kebajikan atau baitulmal. Pelabur hanya berhak untuk memperoleh kembali kos pembelian asal sahaja”. 

Pengklasifikasian sesuatu pelaburan yang mematuhi syariah (shariah-compliant securities) boleh dilihat dengan jelas melalui Senarai Sekuriti Patuh Syariah yang dikeluarkan Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bertarikh 26hb. November 2010. Lebih dari itu, dinyatakan juga dalam senarai tersebut bagaimana aras sesuatu sekuriti itu diukur dari segi kehalalan dan kepatuhan prinsip syariahnya. Bukan itu sahaja, senarai tersebut juga dinyatakan syarikat-syarikat yang terkeluar atau tidak mematuhi syariah dengan jelas.

Selain dari itu, Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti juga telah mengeluarkan Senarai Sekuriti Patuh Syariah (List of Shariah-Compliant Securities) pada 25hb. Nov 2011 dan List of launched funds in relation to unit trust funds yang dikemaskini pada 31hb. Oktober 2011 yang mana jelas menyatakan dana-dana amanah yang mematuhi syariah dan tidak mematuhi syariah.

Titah DYMM Sultan Selangor

Di negeri Selangor, DYMM Sultan Selangor telah bertitah semasa Perasmian Dewan Undangan Negeri Selangor pada 10 Mac 2009 iaitu:

“Beta juga dengan sukacitanya mengambil kesempatan ini menyeru kerajaan negeri menyokong usaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memastikan penyaluran wang syubhah daripada mana-mana orang dan syarikat-syarikat yang beroperasi di Selangor ke akaun Baitulmal, MAIS. Wang syubhah ialah wang yang dihasilkan daripada aktiviti yang tidak diketahui status halal atau haram dan bercampur dengan perkara yang dilarang oleh syariah. Pengumpulan wang syubhah oleh MAIS ini akan digunakan untuk kepentingan umum masyarakat seperti pembinaan kemudahan awam yang manfaatnya kepada orang Islam dan juga bukan Islam. Keputusan untuk menyalurkan wang syubhah ini ke akaun Baitulmal telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa  Baitulmal Kebangsaan Pada 19 Februari 2009 dan Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti juga telah menyenaraikan Baitulmal sebagai badan penerima wang syubhah di dalam “Senarai Sekuriti Patuh Syariah Oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti” bertarikh 28 November 2008.”
   
Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor

Sejajar dengan itu, satu ketetapan berkenaan penyaluran wang tidak patuh syariah atau wang haram ini juga telah dibuat melalui keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Bil. 1/2009 pada 18hb. Mac 2009 yang menyatakan:

i.    Wang tidak patuh syariah yang diperolehi boleh dijadikan sumber baitulmal dan harus dimasukkan ke dalam akaun baitulmal.

ii.   Penggunaan wang tidak patuh syariah harus untuk kegunaan menjalankan operasi perjalanan kerja di MAIS seperti pembinaan, penyelenggaraan bangunan, emolumen, pendidikan, pertanian, penyelidikan, perubatan, kemudahan asas seperti pembinaan dewan, tandas, jambatan dan lain-lain untuk kegunaan umum.