Khamis, 20 Zulhijjah 1440 / 22 Ogos 2019

Pengurusan Wang Tidak Patuh Syariah

PERANAN MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR

Sebagai sebuah organisasi ulung yang bertanggungjawab mentadbir dan memegang amanah harta-harta orang Islam, MAIS berperanan untuk menyampaikan maklumat dan pengetahuan kepada seluruh umat Islam berkenaan peri pentingnya mengurus harta secara bijaksana sebagaimana yang dituntut oleh hukum syarak.

Hal ini bertepatan Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim-hakim dengan tujuan supaya kamu dapat memakan sebahagian dari harta orang lain dengan cara yang berdosa, sedangkan kamu mengetahui”.
(Surah Al-Baqarah: Ayat 188)

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba”.
(Surah Al-Baqarah: Ayat 275)

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka di antara kamu”.
(Surah Al-Nisa’: Ayat 29)

Pelbagai cabang pengurusan harta Islam telah diteroka dan hasilnya ia direalisasikan untuk manfaat seluruh umat Islam negeri ini. Aplikasi pelaksanaan sesuatu perkhidmatan itu dikaji dari segenap segi bagi memastikan perjalanan atau proses perkhidmatan yang dilaksanakan sentiasa bersandarkan kepada hukum syarak.

Mengambil pendekatan di atas, salah satu terimaan yang diperolehi di MAIS adalah melalui serahan wang tidak patuh syariah. Wang tidak patuh syariah boleh dikatakan sebagai istilah baru bagi mengambil pakai penggunaan nama wang haram atau wang syubhah yang bersesuaian dengan arus kemodenan masyarakat ketika ini.

Penyerahan kepada Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor merupakan pilihan cara pelupusan yang utama, selamat dan meyakinkan serta mampu menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi umat Islam sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Seksyen 7, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003: “maka hendaklah menjadi kewajipan majlis untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di dalam negeri Selangor selaras dengan hukum syarak.”

Sehubungan dengan itu, satu akaun khas telah dibuka di MAIS bagi memudahkan masyarakat Islam menyalur dan melupuskan wang tidak patuh syariah agar hasil tersebut dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh masyarakat Islam dan dikongsikan bersama dengan masyarakat bukan Islam.

Penyaluran wang tidak patuh syariah ini boleh dibuat secara tunai atau cek di kaunter Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor, Tingkat 9, Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah, 40000 Shah Alam atau disalurkan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad, no. akaun 12-038-01-009567-6 atau cek atas nama “Majlis Agama Islam Selangor” atau pindahan wang melalui e-mais di laman web www.mais.gov.my.