Khamis, 20 Zulhijjah 1440 / 22 Ogos 2019

Wang Orang Berhutang

Oleh kerana itu sebagai sebuah agen tazkiyatul amwal (penyuci harta), MAIS dengan kuasa yang diperuntukkan mampu melaksanakan amanah umat Islam ini ke arah mendidik masyarakat dengan nilai-nilai agama yang kukuh dan mantap.

Walau bagaimanapun, pelunasan hutang kepada MAIS adalah tertakluk kepada hutang-hutang yang gagal disampaikan kepada pemiutang seperti dalam keadaan berikut:

i.    Pemiutang dan waris gagal dikesan;
ii.    Hutang kepada orang bukan Islam yang tidak dapat dikesan;
iii.    Deposit pembantu rumah yang gagal dikesan atau telah pulang ke negara asal;
iv.    Pemiutang meninggal dunia dan tiada waris atau warisnya tidak dapat dikesan;
v.    Deposit atau pampasan pekerja yang tidak dapat dikesan;
vi.    Hasil jualan yang tidak dapat dibayar kepada peniaga;
vii.    Hutang di kedai yang telah tidak wujud; atau
viii.    Hutang kepada pembekal barangan yang tidak dapat dikesan.

Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kita semua sama sebagai penghutang untuk menentukan hutang kita sama ada kesemuanya telah dilunaskan ataupun belum. Sekiranya penghutang telah meninggal dunia, kita sebagai waris hendaklah menentukan berapa banyak hutang-piutang peninggalan si mati yang belum sempat dijelaskan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dan barang siapa yang berhutang, kemudian ia berniat tidak akan membayar hutangnya, lalu ia mati maka Allah akan bertanya di hari kiamat: Apakah kamu mengira bahawa aku tidak akan menuntut hak hambaku? Maka dosa orang yang memberi hutang itu, diberikan pada orang yang berhutang.”


Rasulullah SAW mengingatkan, orang yang berhutang terikat dengan pembayaran. Dia mesti menjelaskan hutangnya semasa di dunia kerana apabila dia sudah mati dan masih menanggung hutang, maka rohnya akan tergantung sehinggalah dijelaskan hutang itu.

Kewajipan melunaskan hutang juga terkandung di bawah Seksyen 13 (1) Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (AKTA 98) yang memperuntukkan bahawa,“Pada penentuan pendengaran pemungut hendaklah melalui perintahnya membuat peruntukkan bagi pembayaran dari harta pusaka bagi duti estet, jika ada, dan perbelanjaan pengebumian dan hutang si mati...”

Oleh itu, pihak kami mengajak seluruh umat Islam agar bersungguh-sungguh menyempurnakan pembayaran hutang kepada pemiutang yang memberi pinjaman kepada kita. Jika berlaku keadaan yang menyulitkan iaitu pemiutang atau warisnya nya gagal dikesan, maka serahlah kepada Baitulmal MAIS untuk ditadbir mengikut hukum syarak.

Daripada Abu Hurairah, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa yang berhutang dengan maksud membayarnya kembali, Tuhan akan menolongnya dengan membayar kembali. Siapa yang mengambil harta orang lain dengan maksud menghilangkannya, Tuhan akan menolong menghilangkannya.”
(Riwayat  Bukhari)

Serahan hutang anda boleh dibuat kepada Seksyen Tazkiyah Mal & Khairat, Unit Amanah, Bahagian Harta Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor, Tingkat 10, Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah, 40000 Shah Alam. Sebarang pertanyaan boleh hubungi 03-5514 3773 atau 3772.



  • 1
  • 2