SOALAN LAZIM

3 soalan lazim yang biasa ditanyakan berkaitan dengan MAIS

1. APAKAH PERBEZAAN DI ANTARA MAIS DAN JAIS?

Menurut seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) merupakan pihak berkuasa utama agama Islam di Negeri Selangor dan bertanggungjawab menasihati Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor untuk semua perkara berhubung agama Islam kecuali perkara berkaitan hukum syarak dan pentadbiran keadilan.

Sebagai pihak berkuasa, MAIS bertanggungjawab menetapkan dasar-dasar yang berkaitan agama Islam.  MAIS juga mempunyai kewajipan menurut seksyen 7 enakmen yang sama untuk membantu dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di Negeri Selangor selaras dengan hukum syarak. Selaras dengan kewajipan tersebut, MAIS bertanggungjawab dalam  penjagaan mualaf, pemulihan dan pengawalan Riqab dan mentadbir harta baitulmal yang terletak hak ke atas MAIS.  Selain itu, MAIS turut memberi perkhidmatan lain termasuk pengurusan fidyah, bantuan guaman syarie dan konsultasi perundangan, sewaan hartanah dan sebagainya.

Manakala Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pula adalah suatu jabatan di bawah Kerajaan Negeri yang bertindak sebagai agensi pelaksana terhadap undang-undang yang berkaitan agama Islam dan segala dasar yang diputuskan oleh MAIS.

JAIS berperanan membantu MAIS menegakkan syiar Islam serta menjaga hal ehwal umat Islam di Negeri Selangor seperti nikah, cerai dan ruju’, pendidikan Islam, pengurusan Tauliah bagi pengajaran agama Islam, pengurusan masjid dan surau dan pengurusan dakwah   tertakluk kepada undang-undang yang berkuat kuasa serta ketetapan dasar MAIS sebagai pihak berkuasa utama agama Islam di Negeri Selangor.

2. ADAKAH MAIS MENAWARKAN BANTUAN PERKAHWINAN KEPADA ORANG ISLAM?

Buat masa sekarang MAIS hanya menawarkan bantuan perkahwinan kepada mualaf.

3. APAKAH PERKHIDMATAN YANG DITAWARKAN OLEH MAIS BERKAITAN PENGURUSAN HARTA UMAT ISLAM?

MAIS menawarkan perkhidmatan wasiat, hibah (pemberian secara hadiah), penebusan/pembelian harta pusaka, sewaan hartanah (bangunan/premis) dan harta wakaf.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor