[vc_row][vc_column][vc_column_text]SHAH ALAM 24 Jun – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengucapkan ribuan terima kasih dan syabas kepada rakyat Malaysia yang memberi sumbangan serta menyokong Tabung Prihatin COVID-19 MAIS sejak ia mula dilancarkan pada 20 Mac 2020 lalu.

MAIS menubuhkan Tabung Prihatin COVID-19 MAIS bagi membolehkan rakyat Malaysia tampil bersama-sama mengumpulkan dana kepada barisan hadapan negara dan mereka yang memerlukan, sekali gus membantu meringankan beban kumpulan berkenaan dalam usaha memerangi pandemik COVID-19.

Jumlah kutipan keseluruhan Tabung Prihatin COVID-19 MAIS mencecah sebanyak RM248,800.60 dan telah ditutup secara rasmi pada 16 Jun 2020 lalu.

Menerusi jumlah kutipan itu, MAIS telah menyalurkan bantuan berupa makanan kering, peralatan perubatan kepada petugas kesihatan dan barangan keperluan am kepada pihak yang memerlukan.

Sebanyak sembilan buah hospital di negeri ini, 10 buah pusat kesihatan daerah (PKD) dan Ibu Pejabat Polis Shah Alam telah mendapat manfaat daripada sumbangan yang disalurkan menerusi Tabung Prihatin COVID-19 MAIS.

MAIS juga turut menyampaikan bantuan kepada tujuh buah sekolah tahfiz di negeri Selangor, Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS), rumah anak yatim yang terjejas,100 keluarga yang terputus bekalan makanan dan bantuan kepada peniaga kecil bukan asnaf di bawah kategori B40 akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Usaha yang dilaksanakan ini diuruskan oleh MAIS bersama agensi dan anak syarikat MAIS iaitu Lembaga Zakat Selangor (LZS), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).

MAIS turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) dan Wakaf Selangor Muamalat (WSM) yang turut memberi sumbangan ke Tabung Prihatin COVID-19 MAIS.

Tidak ketinggalan, semua agensi dan Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam di Negeri Selangor yang turut menyokong penubuhan Tabung Prihatin COVID-19 MAIS.

Semoga dengan sumbangan dan keprihatinan semua pihak akan diberikan ganjaran oleh Allah SWT.

Kenyataan oleh Dr. Haji Ahmad Shahir bin Makhtar, Setiausaha MAIS[/vc_column_text][vc_row_inner][vc_column_inner width=”1/2″][/vc_column_inner][vc_column_inner width=”1/2″][/vc_column_inner][/vc_row_inner][/vc_column][/vc_row]

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor