[vc_row][vc_column][vc_column_text]SHAH ALAM 22 September – Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Sultan Selangor berkenan menyerahkan watikah pelantikan jawatan kepada Panel Tetap Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Selangor, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Selangor, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Penolong Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah Selangor dan Pelantikan Wali Raja dengan keseluruhan seramai 21 orang penerima watikah di sini.

Pelantikan ini adalah selaras dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (EPAINS 2003). Pelantikan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Selangor di bawah subseksyen 57 (1) EPAINS menerangkan, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, atas nasihat Majlis dan Ketua Hakim Syarie, boleh melantik tujuh (7) orang Islam untuk membentuk suatu panel tetap Hakim Mahkamah Rayuan Syariah.

Bagi pelantikan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Selangor pula di bawah subseksyen 59 (1) EPAINS 2003 iaitu Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, atas nasihat Ketua Hakim Syarie, boleh melantik, daripada kalangan anggota perkhidmatan awam am Negeri atau perkhidmatan bersama, Hakim-Hakim Mahkamah Rendah Syariah.

Pelantikan pandaftar dan timbalan-timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah adalah di bawah subseksyen 60 (b) EPAINS 2003 yang menyatakan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, atas nasihat Ketua Hakim Syarie, boleh melantik, daripada kalangan anggota perkhidmatan awam am Negeri atau perkhidmatan persekutuan seorang Pendaftar dan Timbalan-Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah.

Bagi pendaftar Mahkamah Rendah Syariah Selangor pula, subseksyen 60 (c) EPAINS 2003 menerangkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, atas nasihat Ketua Hakim Syarie, boleh melantik, daripada kalangan anggota perkhidmatan awam am Negeri atau perkhidmatan persekutuan seorang Penolong Kanan Pendaftar dan Penolong-Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah.

Baginda juga turut berkenan menyerahkan watikah pelantikan Ahli Waris Yang Lain Negeri Selangor. Hadir mengiringi baginda ialah YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Pengerusi MAIS, Setiausaha MAIS, Ketua Hakim Syarie dan Anggota-Anggota MAIS.[/vc_column_text][vc_row_inner][vc_column_inner width=”1/2″][/vc_column_inner][vc_column_inner width=”1/2″][/vc_column_inner][/vc_row_inner][/vc_column][/vc_row]

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor