[vc_row][vc_column][vc_column_text]SHAH ALAM 19 Januari – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menghulurkan sumbangan bantuan berjumlah RM200 ribu kepada masjid dan surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat yang terpilih di Negeri Selangor berikutan penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebanyak 250 penerima sumbangan bantuan meliputi kategori Masjid Luar Bandar, Masjid Dalam Bandar dan Surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat menerima sumbangan MAIS berbentuk wang tunai menerusi peruntukan Baitulmal MAIS.

Pembayaran sumbangan bantuan ini telah selesai dikreditkan ke dalam akaun bank penerima bagi kategori Masjid Luar Bandar dan selebihnya akan diproses secara berperingkat. Jumlah agihan bantuan sebanyak RM1000 kepada 150 buah Masjid Luar Bandar, RM500 kepada 60 buah Masjid Dalam Bandar dan sumbangan RM500 kepada 40 buah surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat.

Majlis simbolik penyerahan replika cek MAIS telah disampaikan oleh YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof, Pengerusi MAIS kepada Ustaz Hashim bin Muhammad, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pemilihan penerima sumbangan bantuan berdasarkan masjid dan surau solat Jumaat yang dikenalpasti terjejas sumber pendapatan, berikutan penangguhan aktiviti pengimarahan dan ketetapan pihak Berkuasa Agama Negeri Selangor yang menghadkan bilangan jemaah dalam tempoh PKP.

Pihak MAIS berharap, bantuan yang disalurkan ini, dapat meringankan beban terutama bagi keperluan masjid dan surau untuk menjelaskan bil-bil utiliti serta lain-lain keperluan kecil, berikutan kutipan tabung masjid dan surau solat Jumaat berkurangan disebabkan pematuhan SOP sepanjang pelaksanaan PKP sejak 18 Mac tahun lepas.

Antara masjid yang menerima sumbangan bantuan ialah Masjid Ar-Rohmaniah, Kg. Sungai Lang Baru, Kuala Langat; Masjid As-Sajidin, Batang Kali, Hulu Selangor dan Masjid Tebuk Sultan, Sungai Tengar, Sabak Bernam.

Manakala antara penerima sumbangan bantuan surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat ialah Surau Al-Firdaus, Taman Seri Kembangan; Surau Kg. Setia, Kuang dan Surau Al-Ikhlas, Kg. Sungai Purun, Semenyih.[/vc_column_text][vc_row_inner][vc_column_inner width=”1/2″][/vc_column_inner][vc_column_inner width=”1/2″][/vc_column_inner][/vc_row_inner][/vc_column][/vc_row]

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor