[vc_row][vc_column][vc_column_text]SHAH ALAM 20 Januari – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), berjaya mengadakan Mesyuarat MAIS Bil. 1/2021 sepenuhnya secara atas talian pada 19 Januari.

Walaupun negeri Selangor sedang berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) namun Mesyuarat MAIS ini perlu dilaksanakan mengikut perancangan bagi membincangkan isu berkaitan hal ehwal Islam.

Mesyuarat dipengerusikan oleh YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi MAIS dan turut disertai oleh 19 Anggota MAIS.

Mesyuarat dimulakan dengan ucapan menjunjung kasih atas kepercayaan dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang menganugerahkan tanggungjawab sebagai Pengerusi MAIS untuk kali yang ke dua.

“Tanggungjawab ini akan saya pikul dengan penuh amanah. Mengemudi MAIS adalah suatu tanggungjawab yang amat besar dalam memastikan kecemerlangan Hal Ehwal Islam khususnya di Negeri Selangor.

Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada YAD Dato’ Setia Haji Mohammed Khusrin Haji Munawi, Mantan Pengerusi MAIS bersama Anggota MAIS sebelum ini yang telah berjaya membawa MAIS sehingga ke tahap ini.

Selain itu, YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz turut menegaskan berkaitan hala tuju MAIS bagi sesi 2021-2023 iaitu memastikan PSM 2020-2024 dilaksanakan seperti dirangka dalam mendokong visi dan misi MAIS iaitu mendaulatkan syiar Islam dan memperkasakan ummah selaras dengan hukum syarak. Oleh itu, beliau menegaskan Pelan Stategik (PSM) MAIS 2020-2024 yang perlu dilaksanakan seperti yang telah ditetapkan.

Melalui Mesyuarat MAIS ini, beberapa keputusan penting berkaitan Hal Ehwal Islam di Negeri Selangor juga telah diputuskan. Antaranya termasuklah bersetuju untuk menubuhan tiga Jawatankuasa yang baharu iaitu Jawatankuasa Pembangunan Keluarga dan Wanita, Jawatankuasa Khutbah dan Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi.

Perkara ini bertepatan dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, Seksyen 27: Majlis boleh melantik jawatankuasa untuk membantunya dalam menunaikan kewajipannya atau menjalankan kuasanya.

18 Jawatankuasa MAIS dan lima Jawatankuasa di bawah Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor (JHEIS) telah diluluskan penubuhannya bagi sesi 2021-2023 dengan penglibatan lebih 100 orang yang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa yg terdiri daripada ketua jabatan negeri & persekutuan, ahli ulama, akademik, profesional, korporat, pemimpin NGO, pesara dan sebagainya.

Semoga melalui usaha dan ketetapan ini, hal ehwal agama Islam di Negeri Selangor sentiasa diutamakan dan MAIS akan terus mengorak langkah dalam meningkatkan syiar Islam dengan gerak kerja yang lebih tersusun dan efisyen.[/vc_column_text][vc_row_inner][vc_column_inner width=”1/2″][vc_single_image image=”4888″ img_size=”full” onclick=”img_link_large”][/vc_column_inner][vc_column_inner width=”1/2″][vc_single_image image=”4889″ img_size=”full” onclick=”img_link_large”][/vc_column_inner][/vc_row_inner][/vc_column][/vc_row]

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor