[vc_row][vc_column][vc_column_text]SHAH ALAM, 15 Februari – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini melancarkan Sistem e-Faraid MAIS bagi memudahkan masyarakat Islam menguruskan harta pusaka dengan lebih mudah dan pantas melalui sistem digital atas talian.

Pelancaran e-Faraid MAIS disempurnakan oleh YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi MAIS dalam Perutusan Pengerusi MAIS Tahun 2021 dan pelancaran Video Korporat MAIS yang disiarkan menerusi aplikasi Zoom Meeting di sini hari ini.

Sebagai badan yang mengelola Baitulmal, MAIS sentiasa komited memberikan perkhidmatan yang terbaik dan menjadi tempat rujukan utama dalam urusan pentadbiran harta pusaka orang Islam.

Sistem e-Faraid MAIS adalah sebuah sistem yang dibangunkan merangkumi penawaran perkhidmatan pengurusan harta pusaka, kaedah pengiraan secara faraid dan pengurusan fail serta pelaporan untuk pegawai yang mengurus.

E-Faraid MAIS merupakan sistem yang pertama seumpamanya dihasilkan oleh Majlis Agama Islam Negeri melalui bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Subseksyen 5(4), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu “Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai wasi sesuatu wasiat atau sebagai pentadbir harta pusaka seseorang si mati atau sebagai pemegang amanah mana-mana amanah.”

Menariknya e-Faraid MAIS, pengguna dibekalkan dengan Kalkulator Pengiraan Faraid atau K-Faraid MAIS bertujuan mendidik masyarakat untuk memahami kaedah pengiraan dan pembahagian harta pusaka secara faraid.

Bagi pengguna yang ingin menggunakan K-Faraid MAIS, pengguna hanya perlu memasukkan

waris-waris seseorang si mati melalui senarai waris atau carta waris dan kemudian memasukkan jumlah nilaian harta-harta pusaka yang ditinggalkan si mati. Hasilnya pengiraan akan memaparkan kadar bahagian waris-waris bersama jumlah harta melalui jadual pengiraan.

Lebih mudah lagi dalam e-Faraid MAIS, pengguna hanya perlu memilih perkhidmatan yang ingin dikehendaki seperti Permohonan Penebusan, Permohonan Pusaka Tiada Waris, Permohonan Urus Pusaka dan Permohonan Pembelian.

Melalui e-Faraid MAIS, MAIS akan melaksanakan pengurusan harta pusaka dengan telus, adil dan profesional mengikut hukum syarak kepada ahli waris.

Masyarakat yang ingin mendapatkan perkhidmatan e-Faraid MAIS ini, bolehlah menggunakan sistem ini melalui pautan di http://efaraid.mais.gov.my/ bermula 15 Februari 2021. Sebarang pertanyaan lanjut, bolehlah menghubungi Baitulmal, MAIS di talian 03-55143773/3772.[/vc_column_text][vc_row_inner][vc_column_inner width=”1/2″][/vc_column_inner][vc_column_inner width=”1/2″][/vc_column_inner][/vc_row_inner][/vc_column][/vc_row]

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor