PAUTAN
PANTAS

AGENSI KERAJAAN & NEGERI

MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI

POPULAR

PAUTAN POPULAR

MEDIA SOSIAL

MAIS MEDIA SOSIAL

Waktu Solat
Kajian Kepuasan Pelanggan MAIS

RM545,500 WANG FIDYAH MAIS BANTU 5,455 KELUARGA YANG TERKESAN COVID-19 – MAIS agih wang fidyah bagi tempoh tiga bulan pertama


SHAH ALAM, 6 Mac – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengagihkan wang fidyah sebanyak RM545,500 kepada 5,455 keluarga terkesan dengan pandemik COVID-19 melalui pelbagai program turun padang bagi tiga bulan pertama tahun ini.

Program bantuan ini dilaksanakan dengan kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS), Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGOi), masjid dan surau di daerah yang terlibat.

Sumbangan diagihkan kepada keluarga yang terkesan dengan pandemik COVID-19 sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutama individu atau keluarga khususnya golongan B40, peniaga, penjaja yang terjejas punca pendapatan dan golongan yang hilang pekerjaan.

Setiap keluarga menerima bantuan fidyah MAIS berupa pek makanan asasi seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan susu.

Sementara itu, MAIS menyampaikan sumbangan bantuan fidyah kepada 416 keluarga yang terkesan bagi melibatkan wang fidyah sebanyak RM41,600 di sini hari ini dengan kerjasama Masjid As-Salam Puchong Perdana.

Bantuan juga turut disalurkan kepada mereka yang terkesan di Pertubuhan Penyayang SALAM (SALAM RELIEF) untuk 100 orang penerima dengan agihan wang fidyah sebanyak RM10,000.

Penyerahan sumbangan disampaikan oleh Dr. Haji Ahmad Shahir Makhtar, Setiausaha MAIS dan Ustaz Suhaimi Ismail, Pengarah Pembangunan Sosial MAIS.

MAIS berharap, bantuan yang disalurkan ini dapat meringankan beban dan kos perbelanjaan seharian terutama kepada mereka yang memerlukan.

Orang ramai yang ingin membuat bayaran fidyah boleh melayari laman web MAIS di www.mais.gov.my atau bayaran boleh dibuat terus menerusi http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.

Berita MAIS

Comments are disabled.