[vc_row][vc_column][vc_column_text]SHAH ALAM 1 April – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini melancarkan sebuah kempen yang dinamakan Kempen Jom Sedekah ke dalam Tabung Amanah Anak Yatim Selangor bagi mengajak orang ramai untuk bersedekah sempena bulan Ramadan yang akan bakal tiba.

Pelancaran disempurnakan oleh YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi MAIS dalam Majlis Hi-Tea Bersama Pengamal Media, Rakan Strategik dan Pelancaran Kempen Sedekah Tabung Anak Yatim Negeri Selangor 2021.

Pelaksanaan kempen ini bertujuan untuk menambah dana tabung bagi keperluan anak yatim agar lebih banyak program dapat dilaksanakan terutama membabitkan program sosial dan kebajikan khusus kepada anak-anak ini.

Sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab dalam menyantuni anak yatim di Negeri Selangor, MAIS memperuntukkan dana daripada Baitulmal MAIS sebanyak RM500,000.00 setiap tahun bagi tujuan kebajikan anak yatim melalui Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), anak syarikat MAIS selaku penyelaras anak-anak yatim dan rumah pertubuhan anak yatim di Negeri Selangor.

Melalui dana yang terkumpul itu, ia akan digunakan untuk kebajikan anak-anak yatim seperti sumbangan bantuan hari raya dan sebahagiannya juga dimanfaatkan untuk pengurusan rumah-rumah anak yatim yang berdaftar di bawah YIDE.

Menerusi kempen itu yang dijadualkan sepanjang bulan Ramadan, MAIS mengajak badan korporat dan umat Islam di Negeri Selangor untuk turut sama-sama membantu kebajikan anak-anak yatim sebagai tanggungjawab sosial bersama.

Sehingga kini, seramai lebih 8,000 orang anak yatim di Negeri Selangor yang telah berdaftar melalui YIDE.

Antara program yang dilaksanakan untuk anak yatim melalui YIDE ialah Sumbangan Hari Raya, Bantuan Pra Persekolahan, Berkhatan Perdana, Kem Motivasi dan Riadah Santai.

Orang ramai yang ingin bersedekah ke Tabung Amanah Anak Yatim Selangor bolehlah dibuat secara atas talian menerusi http://fpx.mais.gov.my/epay/say.php. Setiap sedekah yang disumbangkan akan mendapat pengecualian cukai di bawah Subseksyen 44 (6), Akta Cukai Pendapatan 1967.[/vc_column_text][vc_row_inner][vc_column_inner width=”1/2″][vc_single_image image=”5290″ img_size=”full” onclick=”img_link_large”][vc_single_image image=”5292″ img_size=”full” onclick=”img_link_large”][/vc_column_inner][vc_column_inner width=”1/2″][vc_single_image image=”5291″ img_size=”full” onclick=”img_link_large”][vc_single_image image=”5293″ img_size=”full” onclick=”img_link_large”][/vc_column_inner][/vc_row_inner][/vc_column][/vc_row]

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor