[vc_row][vc_column][vc_column_text]SHAH ALAM, 23 April – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperkenalkan pilihan bayaran fidyah puasa Ramadhan mengikut jenis beras yang dimakan pada tiga kadar yang berlainan iaitu RM2, RM4 dan RM6 sehari.

Kadar bayaran fidyah yang ditetapkan sebanyak RM2 sehari adalah bagi individu yang memakan beras Super Special Tempatan 5%, RM4 sehari bagi individu yang memakan beras putih import/beras perang/ beras pulut/herba ponni/ beras wangi dan kadar fidyah RM6 sehari bagi individu yang memakan beras basmathi/beras Jepun/beras merah.

Mereka yang berkemampuan amat digalakkan menunaikan bayaran fidyah mengikut jenis beras yang dimakan selaras dengan kadar zakat fitrah yang dilaksanakan di Selangor yang merujuk kepada keputusan Mesyuarat Fatwa Negeri Selangor.

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-5/2020 yang bersidang pada 17 Rabi’ul Awal 1442H bersamaan 3 November 2020 telah memutuskan bahawa kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah 1/4 daripada zakat fitrah yang dibayar.

Sebagai contoh, jika seseorang itu meninggalkan puasa sebanyak 7 hari pada tahun 2020 (belum melangkau tahun), kadar fidyahnya adalah 7 hari x 1 tahun x RM2 = RM14 (jumlah yang perlu dibayar jika mereka memakan Beras Super Special Tempatan 5% ).

Manakala jika seseorang yang memakan beras putih import/beras perang/ beras pulut/herba ponni/ beras wangi meninggalkan puasa sebanyak 7 hari pada tahun 2020, kadar fidyahnya adalah 7 hari x 1 tahun x RM4 = RM28.

Bagi seseorang yang meninggalkan puasa contohnya sebanyak 7 hari dan tidak menggantikan puasanya selama 3 tahun iaitu pada tahun 2018-2020 (hingga melangkau Ramadhan tahun ini), kadar fidyahnya adalah 7 hari x 3 tahun x RM2 = RM42 (jumlah yang perlu dibayar jika mereka memakan Beras Super Special Tempatan 5%).

Bagi mereka yang berkemampuan, adalah amat digalakkan untuk membayar fidyahnya secara berganda jika melangkau Ramadhan berikutnya.

Fidyah merupakan bayaran denda yang dikenakan kepada seseorang yang tidak dapat menggantikan puasanya di bulan Ramadhan pada sesuatu tahun sehinggalah tibanya bulan Ramadhan tahun berikutnya.

Umat Islam yang ingin membuat bayaran fidyah, bolehlah melayari laman web MAIS iaitu www.mais.gov.my atau bayaran boleh dibuat terus menerusi http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.[/vc_column_text][vc_row_inner][vc_column_inner width=”1/2″][/vc_column_inner][vc_column_inner width=”1/2″][/vc_column_inner][/vc_row_inner][/vc_column][/vc_row]

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor