[vc_row][vc_column][vc_column_text]SHAH ALAM, 22 Julai — Merujuk kepada penulisan bertajuk ‘Live Explanation Ebit Lew, yang ditulis oleh Shaari Anuar II, khasnya pada kandungan Perkara 12 yang menyebut, “Income dari training, “Keluarga Sunnah” contohnya satu organisasi, Mais jumlahnya 7000 orang x RM 100, boleh dapat 700k sahari,” yang kini sedang tular di media sosial, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menafikan keseluruhan kandungan Perkara 12 dalam artikel tersebut dan menyatakan pihaknya tidak pernah terlibat dengan latihan yang dianjurkan oleh penceramah bebas tersebut sebagaimana dakwaan penulis artikel berkenaan.

Hasil penelitian dan semakan pihak MAIS terhadap sidang media penceramah bebas itu pada 22 Julai yang turut disiarkan di laman Facebook Sinar Harian bertajuk ’Penjelasan pendakwah bebas, Ebit Lew berhubung beberapa dakwaaan terhadapnya’, pihak MAIS mendapati penceramah berkenaan tidak menyebut perkataan ‘MAIS’ sebaliknya menyatakan, “contoh yang saya sudah buat kat MAEPS..” pada minit 1:16:15 sidang media tersebut.

Tindakan penulis artikel berkenaan mengaitkan nama MAIS dalam penulisannya boleh memberi gambaran yang salah (misrepresentasi) kepada orang awam bahawa wang yang disumbangkan oleh Ebit Lew kepada umat Islam di Gaza turut diperolehi melalui program latihan Keluarga Sunnah anjuran penceramah berkenaan yang dibuat di MAIS berjumlah RM700 ribu.

Dakwaan tersebut boleh menjejaskan imej dan reputasi MAIS sebagai pihak berkuasa terhadap hal ehwal umat Islam dan pentadbir harta zakat, Baitulmal dan wakaf dalam Negeri Selangor.

Sehubungan itu, MAIS menuntut penulis artikel berkenaan mengeluarkan nama MAIS dari artikel tersebut dengan serta-merta dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak MAIS.

Pihak MAIS juga meminta semua pemilik laman web sosial dan orang ramai yang telah memuat naik dan berkongsi artikel berkenaan melalui laman web dan media sosial masing-masing untuk mengeluarkan artikel berkenaan dari laman web sosial masing-masing dan menghentikan dengan serta merta penyebaran maklumat yang salah ini melalui SMS, whatssapp atau saluran media sosial yang lain.

Pihak MAIS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis artikel tersebut dan mana-mana pihak yang gagal menghentikan penyebaran maklumat ini di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan menyebarkan maklumat palsu menerusi media sosial. Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000, dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Pihak MAIS juga mengingatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai sesuatu maklumat yang diperolehi di atas talian.

Orang ramai dinasihatkan untuk menyemak dahulu kesahihan maklumat tersebut sebelum membuat sebarang pandangan atau kesimpulan mengenai isu berkenaan atau memanjangkan mesej berkenaan kepada orang lain.[/vc_column_text][vc_row_inner][vc_column_inner width=”1/2″][/vc_column_inner][vc_column_inner width=”1/2″][/vc_column_inner][/vc_row_inner][/vc_column][/vc_row]

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor