MUSIBAH BANJIR: UJIAN MENGUNDANG RAHMAT

MUSIBAH BANJIR: UJIAN MENGUNDANG RAHMAT

banjir1
Agama kita tidak menjadikan semua musibah itu sebagai perkara yang sia-sia.

Siapa yang tidak sedih dan pilu bila terkenangkan musibah banjir yang melanda sehingga berlakunya kematian orang tersayang, rosak harta benda termasuk kereta sehingga menyebabkan kerugian yang amat tinggi.

Ini belum lagi menempuh masa-masa membaik pulih agar kembali seperti sediakala dan yang paling teruk adalah menenangkan semula emosi yang agak tertekan disebabkan musnahnya harta benda dan perginya orang tersayang dengan sekelip mata setelah bertahun-tahun bersama.

Sudah tentu bagi yang menghadapinya akan tahu perit jerihnya bila ujian menimpa. Adakah sebagai umat Islam kita akan salahkan takdir?

Dalam menempuh kehidupan seharian, pastinya kita tidak dapat lari daripada berdepan dengan pelbagai perkara yang tidak diingini oleh semua manusia, sepertimana musibah banjir yang melanda negara kita baru-baru ini dan ramai mangsa yang masih trauma.

Namun, agama kita tidak menjadikan semua musibah itu sebagai perkara yang sia-sia.

Orang mukmin yang beriman, bersabar dan reda dengan musibah tersebut, akan diganjari dengan pahala oleh Allah SWT dan kita sebagai hamba-Nya tidak mengetahui apakah hikmah yang Allah SWT kehendaki di sebalik musibah yang menimpa.

Sudah semestinya setiap orang beriman akan diuji bagi memantapkan keimanannya dan ketakwaannya kepada Allah SWT semata-mata.

Itulah janji Allah SWT dan Allah SWT akan melihat sejauh mana kesabaran dan pergantungan hambanya terhadap Allah SWT bila berlakunya sesuatu musibah atau sebaliknya.

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat: 155,

“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah : 155).

banjir2
Sikap terbaik ketika menghadapi musibah, adalah dengan bersabar serta berusaha, lalu mengembalikanya atau bertawakal kepada Allah SWT Yang Maha Kuasa atas segala-galanya.

Seperti firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 156:

“(iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun.”

Ambillah ingatan, apabila Allah SWT kasihkan hamba-Nya, maka Allah SWT akan menurunkan musibah ke atas hamba-Nya itu, sebagai penebus dosa, kerana Allah SWT tidak mahu hamba-Nya itu berjalan di muka bumiNya ini, dengan memikul sedikit pun dosa.

Saidatina Aisyah Radhiallahu’anha berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah suatu musibah yang menimpa seseorang Muslim, melainkan Allah akan menghapuskan (dosa orang itu) dengannya, bahkan duri yang menyakitinya sekalipun.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Walaupun setiap ujian dan musibah yang menimpa itu adalah untuk menguji kesabaran kita, tetapi ramai yang merasa berat ketika didatangi dugaan tersebut.

Ketahuilah, bahawa salah satu sebab datangnya musibah adalah ketika Allah SWT menghendakki kebaikan bagi hamba-hamba-Nya.

Anas bin Malik Radiallahu’anhu berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Apabila Allah menginginkan kebaikan kepada hamba-Nya, Allah akan segerakan hukuman untuknya di dunia. Dan apabila Allah menginginkan keburukan kepada hamba-Nya, Allah akan menahan azab baginya (akibat dosanya) di dunia, hingga Allah membalasnya (dengan sempurna) pada hari Kiamat ”. (Riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim).

Maka, kita hendaklah reda dan bersabar, apabila diuji dengan musibah. Kita hendaklah menyakini bahawa semua itu adalah penghapus dosa-dosa yang telah kita lakukan saban waktu.

banjir3
Janganlah merungut, mengeluh dan tidak berpuas hati dengan ujian Allah SWT itu, sehingga ada di antara kita yang menuding jari menyalahkan antara satu sama lain.

Justeru, jangan biarkan kemuliaan diri yang dianugerahkan Allah SWT itu hilang kerana sikap dan budi bahasa kita sendiri dengan melawan takdir yang telah ditentukan.

Ketahuilah, kehidupan di dunia ini tidak sunyi daripada kemelut, krisis, musibah dan malapetaka apabila tidak seorang pun manusia akan terlepas daripadanya bila tiba masanya.

Masa pula seakan-akan tidak lagi memberikan kesempatan bagi manusia untuk membuat pilihan sama ada esok atau lusa kerana ketentuan dari Allah SWT sudah tertulis bagi setiap hambanya walaupun seseorang ingin mengingkarinya.

Ini kerana malam dan siang bersilih ganti menghadirkan seribu satu dugaan dan ujian yang terhampar sepanjang perjalanan hidup manusia bagi menguji tahap keimanan serta ketakwaan yang bertakhta di sanubari masing-masing yang mampu mengangkat kualiti kebergantungan hanya kepada Allah semata-mata dalam erti kata yang sebenar.

Justeru, yakinilah musibah yang menimpa kita merupakan ujian yang bakal mengundang rahmat Allah SWT di atas kesabaran dan kebergantungan yang tidak berbelah bahagi kepada Yang Maha Esa kerana hikmah disebalik musibah sudah tentunya bakal dikecapi melalui anugerah terbaik yang bakal diberikan Allah SWT buat hamba-hambanya samada di dunia mahupun di akhirat. Wallahu A’lam

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor