[vc_row][vc_column][vc_column_text]TERENGGANU, 18 Mac 2022 – Prihatin dengan nasib mangsa banjir yang terjejas di negeri Terengganu dan Kelantan dalam insiden 26 Februari lalu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tampil menyumbangkan RM300,000.00 bagi menyantuni mangsa-mangsa yang terkesan akibat banjir.

Sumbangan RM300,000.00 itu meliputi peruntukan daripada Baitulmal MAIS, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).

Daripada jumlah tersebut, MAIS menyumbang wang tunai sebanyak RM100,000.00. Manakala agensi dan anak syarikat MAIS iaitu LZS menyumbang berjumlah RM100,000.00 dan YIDE mengagihkan bantuan sebanyak 1,000 pek makanan asas dengan nilai sumbangan sebanyak RM100,000.00. Manakala Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) pula berperanan membekalkan pek makanan asas kepada mangsa-mangsa banjir.

Sumbangan diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dengan masing-masing menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM100,000.00 (RM50,000.00 daripada MAIS dan RM50,000.00 daripada LZS) dan 500 pek makanan asas dengan nilai RM50,000.00 bagi setiap negeri.

Penyerahan sumbangan disampaikan oleh Dr Haji Ahmad Shahir Makhtar, Setiausaha MAIS yang diterima oleh Tuan Haji M. Rozi Bidin, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM dan Tuan Haji Ridhwan Abdul Rahman, Ketua Pegawai Baitulmal, MAIK.

Sumbangan MAIS ini adalah bertujuan sebagai tanda solidariti di antara Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) bagi menyantuni mangsa yang terkesan akibat banjir.

Terdahulu, MAIS, Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor dan Anak Syarikat menyumbang sebanyak RM38.1 juta bagi membantu mangsa banjir di Negeri Selangor dalam kejadian 17 Disember 2021 lalu.

Turut hadir, Puan Nurhani Salwa Jamaluddin, Timbalan Setiausaha (Operasi) MAIS, En Nur Mohd Razali Abdullah Pengurus Besar YIDE, En. Mohd Hasnul Redza Abdullah Pengurus Besar TERAS dan wakil-wakil agensi dan anak syarikat MAIS yang lain.[/vc_column_text][vc_row_inner][vc_column_inner width=”1/2″][vc_single_image image=”7278″ img_size=”full” onclick=”img_link_large”][vc_single_image image=”7280″ img_size=”full” onclick=”img_link_large”][/vc_column_inner][vc_column_inner width=”1/2″][vc_single_image image=”7279″ img_size=”full” onclick=”img_link_large”][vc_single_image image=”7281″ img_size=”full” onclick=”img_link_large”][/vc_column_inner][/vc_row_inner][/vc_column][/vc_row]

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor