HAKAM PENYELESAIAN KONFLIK RUMAH TANGGA

HAKAM PENYELESAIAN KONFLIK RUMAH TANGGA

hakam1
(Sumber: Adylamosya) Perkahwinan ialah akad yang menghalalkan di antara lelaki dengan perempuan hidup Bersama.

ALAM PERKAHWINAN adalah merupakan satu fasa yang terpanjang dan terpenting dalam kehidupan kebanyakan manusia. Ramai di kalangan mereka meniti bahagia dalam menyemai benih-benih kehidupan.

Tidak kurang juga yang hidup seolah-olah seperti di dalam ‘neraka’. Shiqaq; sepertimana yang ditafsirkan melalui Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014, perkelahian antara suami dan isteri yang berlarutan yang menjejaskan kerukunan rumah tangga telah terjadi sama ada sejak mula ikatan perkahwinan terbina, atau pun setelah melepasi fasa bahagia.

Ibarat ungkapan peribahasa Melayu,

“disangka panas sampai ke petang, kiranya hujan tengah hari”.

Acapkali kita mendengar dari perspektif suami dalam sebuah tuntutan perceraian, dirinya masih terlalu menyayangi dan memerlukan isteri sehingga tidak sanggup melafazkan Talaq. Sedangkan Talaq merupakan hak dan kuasa suami.

Begitu pula si isteri ingin membebaskan dirinya dari ikatan tersebut dengan segera bahkan sanggup melarikan diri ke rumah keluarga atau tempat rahsia yang tidak diketahui suami.

Senario ini menterjemahkan bahawa kemungkinan telah terjadinya darar syarie (kemudharatan yang diiktiraf oleh Syarak); sepertimana yang ditafsirkan melalui kaedah Hakam tersebut juga, iaitu bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, maruah atau harta benda mengikut kebiasaan yang diakui oleh Hukum Syarak.

hakam2
Dalam situasi ini, tiada satu pun objektif perkahwinan dapat direalisasikan bahkan kedua-dua mereka; baik suami atau isteri, gagal mengecap nikmat perkahwinan biar siapa pun yang menjadi punca.

Disebabkan tiada persepakatan bagi mengakhiri konflik dengan baik, terjadinya isu gantung tidak bertali. Berdasarkan dapatan statistik iaitu sebelum wujudnya kaedah Hakam tersebut (2007-2013), bilangan kes perceraian yang difailkan di bawah Seksyen 47 yang tertunggak melebihi tiga tahun dari tarikh didaftarkan, iaitu selama empat hingga lapan tahun ke atas, mencapai jumlah 500 kes secara purata pada setiap tahun.

Beberapa tahun sebelumnya, bahkan pada pertengahan 1990an Mahkamah Syariah Selangor berhadapan dengan serangan dan kritikan daripada pelbagai pihak di atas isu penangguhan kes yang terlalu lama, antaranya kes melibatkan isu perceraian dan nusyuz di dalam kes Aida Melly Tan Mutalib [2008]1 ShLR 85.

Syariat Islam datang menawarkan solusi bagi menamatkan konflik berterusan ini, dengan jaminan daripada Allah.

Allah berfirman di dalam Surah An-Nisa’, ayat 35 yang bermaksud;

“Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakai baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi amat mendalam pengetahuanNya.”

Berdasarkan ayat tersebut, peranan dan fungsi Hakam sangatlah besar, bahkan mulia di sisi syariat. Roh utama dalam pelaksanaan Hakam adalah perdamaian.

Namun sebagai membawa semangat bahawa Islam adalah penyelesaian masalah ummat dalam kerangka siyasah syar’iyyah, melalui penguatkuasaan kaedah hakam tersebut Hakam boleh diberi kuasa oleh Mahkamah untuk menamatkan konflik dengan jalan Talaq atau Khul’, sekiranya perdamaian tidak dapat dicapai, sekaligus menyelesaikan konflik rumah tangga secara serampang dua mata sama ada dengan cara perdamaian atau perpisahan.

Hakam sepertimana yang ditafsirkan di dalam kaedah hakam tersebut ialah seseorang penimbang tara yang diberi kuasa oleh pihak-pihak atau oleh Mahkamah untuk menyelesaikan perkelahian (shiqaq) antara suami dan

hakam3
Justeru pelantikan seseorang Hakam di dalam suatu kes penceraian perlu dibuat secara kemas dan teliti.

Sebelum wujudnya kaedah Hakam tersebut, Mahkamah Syariah Selangor hanya berpandukan peruntukan Seksyen 48 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (EUUKIS) dan Arahan Amalan 2006 yang tidak mempunyai sistem sokongan bagi pelantikan Hakam.

Seksyen 48 EUUKIS hanya menyebut jika Mahkamah berpuas hati bahawa perkelahian (shiqaq) sentiasa berlaku antara pihak-pihak kepada suatu perkahwinan, Mahkamah boleh melantik, mengikut Hukum Syarak, dua orang penimbangtara atau Hakam untuk bertindak bagi pihak suami dan isteri yang berkenaan itu masing-masing; manakala Arahan Amalan 2006 memberi panduan kepada Hakim supaya melantik Hakam yang mempunyai pengetahuan dalam Hukum Syara’.

Namun di sana terdapat kekurangan dari segi mekanisme tertentu yang boleh menapis mereka yang berkelayakan untuk menjalankan fungsi ini.

Begitu juga, tiada sebarang proses kerja yang jelas bagaimana Hakam dapat dilaksanakan.

Kesannya, Hakam yang dilantik adalah di kalangan Pegawai Syariah Jabatan Kehakiman Syariah Selangor dan Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Selangor yang mempunyai tugasan hakiki masing-masing dan terpaksa menanggung pelbagai kerja dalam satu-satu masa yang mana menyukarkan komitmen dalam mengendalikan prosiding Hakam.

Setelah kaedah hakam tersebut digubal dan dikuatkuasakan, fungsi Hakam telah dapat diperkasakan. Usaha perdamaian lebih konstruktif dan memberi peluang kepada suami untuk berusaha menyelamatkan rumah tangga.

Pada masa yang sama, tiada lagi kelewatan dalam menyelesaikan kes-kes perceraian kerana prosiding telah dipercepatkan dengan adanya campurtangan Hakam yang diberi kuasa penuh oleh Hakim.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor