CYBERJAYA, 21 April 2022 – Sumbangan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebanyak RM11.2 juta kepada 24 Rumah Pemulihan Riqab (RPR) MAIS disambut penuh kesyukuran kerana membantu pengurusan memantapkan aktiviti kerohanian kepada asnaf berkenaan.
“Terima kasih kepada MAIS kerana sentiasa menyokong kami dalam memulihkan asnaf riqab yang dibelenggu masalah akhlak dan akidah.
“Sekurang-kurangnya ia membantu kami melaksanakan program yang bermanfaat kepada mereka,” kata Mohd Roslan Mohd Isa, Pengusaha Rumah Baitul Islah, Bukit Beruntung.
Tambahnya lagi, membentuk asnaf adalah satu cabaran besar, namun lama kelamaan, mereka dapat menyesuaikan diri dan menerima ajaran yang diterapkan.
Beliau berkata demikian pada Program Semarak Kasih Ramadhan Bersama Komuniti Disayangi anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama MAIS di sini hari ini.
Sementara itu, dalam majlis yang sama, turut diadakan penyampaian duit raya dan hamper makanan kepada pengusaha-pengusaha RPR.
Program dirasmikan oleh YB Senator Datuk Haji Idris Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Hadir sama Tan Sri Dato’ Hashim Meon, Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS; Dr Haji Ahmad Shahir Makhtar, Setiausaha MAIS dan Ustaz Suhaimi Ismail, Pengarah Pembangunan Sosial MAIS.