SHAH ALAM, 25 Mei 2022 – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengadakan Perbincangan Meja Bulat (PMB): Keperluan mengadakan peruntukan dalam undang-undang tubuh negeri yang menjelaskan kedudukan fahaman/ajaran ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai agama Islam yang diamalkan dan dianuti dalam negeri Selangor di sini hari ini.
PMB diadakan bertujuan mendapatkan input dan pandangan berhubung keperluan mengadakan peruntukan dalam undang-undang tubuh negeri yang menjelaskan kedudukan fahaman/ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai agama Islam yang diamalkan dan dianuti dalam Negeri Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), YB Dato’ Salim bin Soib@Hamid telah merasmikan PMB ini dan menyambut baik cadangan dan saranan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan untuk menambah baik perundangan sedia ada berhubung dengan agama Islam yang diamalkan dan dianuti dalam Negeri Selangor.
“Semoga perbincangan meja bulat ini dapat mencapai suatu resolusi yang boleh menjawab isu-isu berbangkit yang berkaitan dan menjadi panduan kepada pihak MAIS untuk menentukan hala tuju pindaan undang-undang bagi menjelaskan kedudukan fahaman/ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah,”katanya.
Perbincangan selama sehari itu membariskan beberapa pembentang antaranya ialah YBhg. Prof. Datuk Dr. Shamrahayu binti Ab Aziz, YBhg. Tuan Zainor Rashid bin Hassin, Ketua Pendakwa Syarie, Jabatan Pendakwaan Syariah, dan YBhg. Dr. Muhammad Ayman bin Al-Akiti, Anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.
Peserta PMB kali ini adalah terdiri daripada wakil-wakil agensi yang melibatkan perundangan antaranya Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Pertubuhan ASWAJA dan sebagainya.
Hadir sama dalam perbincangan ialah Dato’Dr. Haji Anhar bin Haji Opir, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Mohammad Adib bin Husain, Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor; Datin Paduka Saudah binti Sulaiman, Anggota MAIS, Dr. Haji Ahmad Shahir bin Makhtar, Setiausaha MAIS dan Pengurusan Tertinggi MAIS dan agensi.