SHAH ALAM, 2 Jun – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melancarkan Kempen Kesedaran Wasiat dan Pusaka Negeri Selangor bermula 1 Jun sehingga 30 Jun 2022 bagi memupuk kesedaran masyarakat membuat perancangan dan pembahagian harta dengan lebih sempurna mengikut syarak.
Pelancaran disempurnakan oleh YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi MAIS dalam Majlis Hi-Tea Bersama Pengamal Media dan Pelancaran Sistem Wasiat dan Hibah MAIS bagi Tahun 2022 di sini semalam.
Melalui kempen ini, MAIS mengambil inisiatif untuk memberi kefahaman dan mendidik masyarakat agar mendapat pencerahan yang sewajarnya terutama perkara yang melibatkan pengurusan harta seperti wasiat, hibah dan harta pusaka.
Pelbagai program diatur sepanjang kempen berlangsung antaranya ialah Program Bual Bicara Wasiat dan Pusaka, Seminar Wasiat dan Pusaka, Program Bual Bicara di Radio IKIM dan Klasik FM, pengisian di kuliah-kuliah khas dan pembukaan kaunter informasi berkaitan Wasiat dan Pusaka di masjid dan surau terpilih di Negeri Selangor.
Masyarakat yang ingin mendapatkan maklumat berhubung aktiviti kempen ini bolehlah mengikuti perkembangan di media sosial MAIS iaitu Facebook Majlis Agama Islam Selangor.
Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat dan melaksanakan pengurusan harta pusaka dengan lebih mudah, permohonan boleh dibuat secara atas talian melalui Sistem Siswa MAIS di https://siswa.gov.my.