PAUTAN
PANTAS

AGENSI KERAJAAN & NEGERI

MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI

POPULAR

PAUTAN POPULAR

MEDIA SOSIAL

MAIS MEDIA SOSIAL

Waktu Solat
Kajian Kepuasan Pelanggan MAIS

Tanah Wakaf Penyambung Pahala….Pengusaha Nanas MD2 Sg Merab


“Antara niat saya adalah, apabila saya mengusahakan tanah wakaf ini, pihak yang berwakaf akan juga dapat merasai keberkatannya, walaupun mungkin pewakaf telah meninggal dunia dan saya tidak pernah berjumpa dengannya,” antara kata-kata pengusaha ladang Nanas Mohd Noorhardy bin Mohd Noorzain, 42 yang mengusahakan tanaman Nanas MD2 di tanah wakaf Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang begitu menyentuh perasaan. Bukan lagi nilai wang ringgit yang menjadi ukuran kejayaan beliau, tetapi nilai bekalan di akhirat kelak menjadi hala tuju dalam perjuangan beliau.

Pernah juga menghadapi kemurungan hampir setahun akibat gagal dalam perniagaan, namun hal itu tidak mematahkan semangat beliau untuk terus berusaha bangkit memajukan diri. Inilah anara perkongsian anak muda ini semasa kunjungan Delegasi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang diketuai oleh Pengerusi MAIS, Tan Sri Dato Seri’ Abdul Aziz Mohd Yusof ke ladang nanas ini pada 16 Jun.

“Jatuh bangun dalam perniagaan adalah perkara biasa. Kebanyakan mereka yang berjaya ada sejarah kegagalan mereka sendiri,” ujar Tan Sri Dato Seri’ Abdul Aziz memberikan kata semangat kepada En. Hardy yang begitu teruja melihat kejayaan anak muda ini membangunkan tanah wakaf MAIS.

Apa yang dapat disimpulkan adalah, beliau bukanlah insan biasa. Beliau insan hebat dalam pengurusan duniawi dan ukrawi. Dengan niat yang jelas menjadi visi dalam beliau mengusahakan ladang nenas komersil di Kg Sungai Merab, Selangor ini.

Inisiatif bagi membangunkan ladang nanas ini dimulakan dengan mencari tapak yang bersesuaian dan alhamdulillah beliau ditemukan dengan Dr. Ahmad Shahir Makhtar, Setiausaha MAIS dan Ustaz Anuar Hamzah Toha, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) yang merupakan anak syarikat MAIS bagi urusan sewaan tapak tanah wakaf ini. Kebetulan yang tidak dirancang, tanah wakaf ini amat bersesuaian dengan keperluan mineral yang diperlukan bagi penanaman nanas MD2. Tanah seluas hampir 6.2 ekar ini disewa dan dimajukan dengan penuh kesungguhan. Dan hari ini, ladang nanas ini telah membuahkan hasil.

Setelah lebih daripada dua tahun menanam dan menjaga, kini beberapa plot telah pun beberapa kali mula mengeluarkan hasilnya. Beliau telah mula memetik buah nanas yang matang biasanya sekitar 140 hari selepas pokok dihormon.

Kini beliau menjual sendiri buah nanas MD2 di kampungnya iaitu Restoran Itik Salai Mashtar Sg Merab. Beliau mempunyai gerai jualan nanas segar dan jus nanas di pintu masuk restoran ini yang menghidangkan pelbagai menu berasaskan masakan salai seperti itik salai, ikan salai, daging salai dan menu makan tengahari yang lain. Buah nanas MD2 juga menjadi menu utama dalam setiap hidangan. Menurut En. Hardy lazimnya dalam seminggu beliau mampu menjual sebanyak 1 metrik tan dan meningkat kepada 2 tan seminggu pada hari kelepasan am.

Delegasi juga dijamu dengan pelbagai menu berasaskan nanas. Paling mengujakan apabila dihidangkan dengan juadah nanas goreng bercicahkan sambal kicap yang amat sedap rasanya bersama nasi goreng nanas MD2. Keseimbangan rasa manis, masam dan masin menjadikan masakan di sini amat luar biasa. Air nanas sejuk yang disediakan daripada buah nanas MD2 yang telah masak ranum, amat sedap dan manis rasanya.

Turut dihidangkan ais krim dan kek nanas MD2. Pekat, likat dan manis yang luar biasa. Karipap Nanas juga ada. Memang tidak rugi kepada peminat nanas datang membawa keluarga ke lokasi yang megujakan ini. Kedudukan ladang nanas yang berada di atas bukit menjadikan permadangan landskap yang sangat indah. Dibuai pula dengan tiupan angin sepoi-sepoi seperti berada di satu pusat peranginan di atas bukit.

Bagi Ustaz Anuar, kejayaan anak muda ini adalah salah satu contoh kepada masyarakat yang ingin memajukan tanah wakaf. MAIS melalui PWS ada menyediakn perkhidmatan sewaan tanah wakaf yang boleh dimajukan oleh mereka yang berkelayakan.

Beliau juga berharap agar penyewa, dapat memanjangkan jariah pewakaf dan mewakafkan juga sebahagian daripada keuntungan di atas tanah wakaf berkaitan. Ustaz Anuar juga dan menyeru kepada orang ramai terus berwakaf melalui pihak berautoriti seperti PWS.

Hadir sama semasa lawatan ini ialah Dr. Haji Ahmad Shahir Makhtar, Setiausaha MAIS; Tuan Salehan Yatim, Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS); Ustaz Anuar Hamzah Toha, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, PWS dan Md Yusmizan Yusuf, Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Lembaga Zakat Selangor.

Berita MAIS

Comments are disabled.