27 Jun 2022 – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terus berdakwah kepada komuniti yang disayangi khususnya Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) dengan mengadakan Program Pembimbing Rakan Komuniti (PRK) Riqab MAIS 2022.
Seramai 30 orang peserta LGBT dari Pertubuhan Komuniti Riqab telah hadir mengikuti program yang diadakan selama dua hari bermula 24 -26 Jun 2022 anjuran Bahagian Pemulihan Riqab MAIS.
Program dilaksanakan bertujuan memberi pendedahan kepada peserta untuk kembali kepada fitrah dan ajaran Islam yang sebenar. Selain itu, objektif program ini adalah menjadikan Islam sebagai asas dalam kepimpinan serta melatih asnaf riqab sebagai pembimbing yang boleh membantu golongan mereka untuk berhijrah ke arah yang lebih baik.
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program berlangsung adalah Solat Berjemaah, Tazkirah Agama, Memanah dan Pengisian Ilmu seperti Panduan Imam Terbaik, Komunikasi Dakwah Terbaik dan Asas LeaderShip Ohsem.
Dalam pada itu, Pengarah Sektor Pembangunan Sosial, Ustaz Suhaimi Ismail turut memberikan kata semangat kepada para peserta yang hadir untuk terus kekal positif dalam menjalani sesi penghijrahan serta menjadi contoh ikutan kepada rakan-rakan serta komuniti yang lain.
Salah seorang peserta yang namanya dirahsiakan, merasa begitu bersyukur kerana terpilih mengikuti program ini. Baginya ruang dan peluang ini memberi semangat untuk dirinya terus kembali kepada fitrah.
Perasmian penutup dan sesi penyerahan sijil serta hadiah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Dato Hashim bin Meon, Jawatankuasa Riqab MAIS.