MAIS PRIHATIN MANGSA BANJIR DI NEGERI KEDAH – Sumbang RM120,000 bagi keperluan maslahah ummah

MAIS PRIHATIN MANGSA BANJIR DI NEGERI KEDAH – Sumbang RM120,000 bagi keperluan maslahah ummah

293653885 5592462157455034 4741672646284904357 n

SHAH ALAM, 16 Julai 2022 – Prihatin dengan nasib mangsa banjir yang terjejas di negeri Kedah dalam insiden 4 Julai yang lalu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tampil menyumbangkan RM120,000.00 bagi memenuhi maslahah ummah terutama dalam membantu kepada mereka yang memerlukan.

Sumbangan RM120,000.00 itu meliputi peruntukan daripada Baitulmal MAIS dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), anak syarikat MAIS.

Daripada jumlah tersebut, MAIS menyumbang wang tunai sebanyak RM50,000.00 dan 500 pek makanan asas dengan nilai RM50,000.00, manakala YIDE pula menyediakan 100 unit blanked dan 100 unit set dapur memasak dengan jumlah RM20,000.00.

Sumbangan MAIS sebanyak tunai sebanyak RM50,000.00 itu akan diberikan kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah bagi tujuan agihan kepada mangsa-mangsa yang terkesan akibat banjir berkenaan.

Hari ini, Yang Amat Dihormati Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof, Pengerusi MAIS turun untuk memberi pelepasan konvoi kumpulan MAIS bersama agensi dan anak syarikat MAIS yang akan diketuai oleh Yang Berbahagia Dr. Haji Ahmad Shahir bin Makhtar, Setiausaha MAIS.

MAIS amat prihatin dengan keperluan maslahah ummah khususnya di negeri Kedah dan apabila berlaku ujian seperti ini, MAIS, agensi dan anak syarikat akan segera memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Sumbangan kepada mangsa banjir ini bertujuan memenuhi maslahah ummah terutama dalam membantu berkaitan keperluan mangsa bagi meringankan bebanan mereka.

Turut terlibat sama agensi dan anak syarikat MAIS dalam konvoi hari ini ialah Encik Nur Mohd Razali bin Abdullah, Pengurus Besar Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Encik Mohd Hasnul Redza bin Abdul Rahim, Pengurus Besar Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) dan Bakti Suci Holding Sdn Bhd.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor