PERSIDANGAN PENDAFTAR-PENDAFTAR MUALLAF DAN PUSAT PENGURUSAN PENGISLAMAN (PPP) MAIS

PERSIDANGAN PENDAFTAR-PENDAFTAR MUALLAF DAN PUSAT PENGURUSAN PENGISLAMAN (PPP) MAIS

295932575 5617636834

24 Julai 2022 – Persidangan Pendaftar-Pendaftar Muallaf Dan Pusat Pengurusan Pengislaman (PPP) MAIS tahun 2022 telah bersidang pada 22 hingga 24 Julai 2022.

Persidangan tiga hari ini dihadiri seramai 50 orang peserta di kalangan pendaftar-pendaftar muallaf di Negeri Selangor, Pegawai-Pegawai Tadbir Agama Daerah dan wakil-wakil PPP.

Persidangan diadakan bertujuan membincangkan isu-isu terkini berkaitan pengurusan, perundangan, perkahwinan dan pendaftaran pengislaman muallaf di Negeri Selangor. Ia juga sebagai platform kepada pendaftar-pendaftar muallaf seluruh daerah dan PPP bagi membincangkan serta memberi cadangan penambahbaikan kepada pihak MAIS dalam pengurusan pendaftaran pengislaman.

Sepanjang persidangan berlangsung, sebanyak enam perkara utama yang turut dibincangkan antaranya ialah Pengurusan Pendaftaran Pengislaman, Isu Perundangan Yang Melibatkan Pengislaman dan Isu Berkaitan Pindaan Status Agama di Mykad.

Perbincangan isu-isu tersebut telah dibentangkan oleh wakil dari beberapa agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara

Negeri Selangor, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Bahagian Undang-Undang Keluarga JAIS, Sektor Undang-Undang MAIS dan Bahagian Baitulmal MAIS.

Persidangan dirasmikan oleh Dr Haji Ahmad Shahir Makhtar, Setiausaha MAIS manakala perasmian penutup disempurnakan oleh Profesor Madya Dato’ Dr. Hj Mohd Farid Ravi Abdullah, Anggota MAIS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Muallaf, MAIS.

Di akhir program, turut diadakan majlis penyampaian sumbangan pendaftaran pengislaman sebanyak RM64,900.00 kepada 22 buah PPP yang telah berjaya mendaftarkan pengislaman dengan sempurna pada tahun 2021.

Semoga sumbangan ini menjadi motivasi buat semua PPP MAIS untuk terus membantu MAIS dalam pengurusan pengislaman selain dapat membantu pihak PPP menjalankan aktiviti kepada muallaf.

Turut hadir, Ustaz Suhaimi Ismail, Pengarah Pembangunan Sosial MAIS dan Ustazah Hafizatul Akmal Abd Jalil, Ketua Bahagian Pendaftaran Muallaf MAIS.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor