MAIS KONGSI PERKEMBANGAN TERKINI PEMBINAAN RUMAH UNTUK MANGSA BANJIR

MAIS KONGSI PERKEMBANGAN TERKINI PEMBINAAN RUMAH UNTUK MANGSA BANJIR

297968050 5661374070563842 4809380466819545871 n

PULAU INDAH, 10 Ogos 2022 – Program taklimat bagi pembangunan rumah untuk mangsa-mangsa banjir yang diusahakan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) diadakan di sini hari ini bagi berkongsi perkembangan terkini berkaitan pembinaan rumah ini kepada penyumbang iaitu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Terdahulu MAIWP telah menyampaikan sumbangan yang dikenali sebagai Bantuan Sumbangan Kasih berjumlah RM3 juta kepada MAIS bagi tujuan membantu asnaf fakir dan miskin di Negeri Selangor yang terkesan akibat banjir pada akhir Disember 2021 terutamanya bagi pembinaan bina rumah baru.

Taklimat perkembangan semasa pembangunan rumah tersebut telah disampaikan oleh Encik Mohd Nuri Abdul Aziz, Pengurus Besar Bakti Suci Holdings Sdn Bhd.

Sumbangan rumah untuk mangsa banjir ini melibatkan 20 buah rumah asnaf fakir dan miskin yang mengalami kemusnahan kediaman yang teruk. Pecahan penerima sumbangan rumah ini adalah empat unit di Daerah Klang, tiga unit di Daerah Petaling, tujuh unit di Daerah Hulu Langat dan enam unit di Daerah Sepang yang berukuran 798 kaki persegi dengan kemudahan tiga bilik tidur dan dua bilik air.

“Terima kasih kepada MAIWP yang memberikan kepercayaan kepada MAIS bagi menyalurkan sumbangan yang besar ini kepada mangsa banjir di Selangor terutamanya untuk membina semula kediaman untuk mereka,”ujar Dr. Ahmad Shahir Makhtar, Setiausaha MAIS yang mengalu-alukan kehadiran delegasi dari MAIWP dan mereka yang turut hadir dalam program ini.

Sejurus selesai sesi taklimat, ahli yang hadir turut dibawa ke beberapa lokasi rumah yang sedang dalam pembinaan di sekitar Daerah Klang.

Salah seorang penerima, Puan Nurfaratushima binti Nani, 70 mengucapkan terima kasih dan bersyukur kepada Allah SWT atas sumbangan dan keprihatinan MAIS, MAIWP dan Lembaga Zakat Selangor membantu keluarga beliau.

“Perasaan yang sukar digambarkan apabila kami terpilih menerima sumbangan rumah baru ini. Lebih-lebih lagi rumah kami hampir musnah sepenuhnya dan tidak tahu di mana kami akan berteduh,”  ujar beliau ketika ditemui di sini.

Turut hadir dalam taklimat ini ialah Ustaz Suhaimi Ismail, Pengarah Pembangunan Sosial, MAIS, Encik Shah Ruddin Abdul Hamid, Pengarah Ekonomi, MAIS, Encik Mohd Zulhilmi Mohd Zambery, Ketua Unit Pembangunan Ummah, Bahagian Agihan Zakat, MAIWP, Encik Zainudin Johari, Ketua Jabatan Pengurusan Operasi, LZS.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor