LAWATAN MAHABBAH AHLI JAWATANKUASA RIQAB MAIS KE HOSPITAL BAHAGIA ULU KINTA

LAWATAN MAHABBAH AHLI JAWATANKUASA RIQAB MAIS KE HOSPITAL BAHAGIA ULU KINTA

3GGZD0L

Ulu Kinta, 17 Ogos 2022 —Dalam usaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperkasa program pemulihan kepada asnaf ar-riqab, satu lawatan telah diadakan ke Hospital Bahagia Ulu Kinta hari ini, untuk mendapatkan informasi dan perkongsian pengalaman berkaitan pengurusan pesakit mental.

Lawatan Mahabbah ini diketuai oleh Y.Bhg Tan Sri Dato’ Hashim Meon, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Riqab MAIS, merangkap anggota MAIS bersama 13 orang ahli delegasi terdiri dari Ahli Jawatankuasa Riqab MAIS dan pegawai-pegawai MAIS.

Menurut Tan Sri Dato’ Hashim Meon, lawatan ini bertujuan membantu pihak MAIS mengenalpasti bentuk pemulihan di bawah asnaf ar-Riqab yang sesuai untuk membantu kemandirian golongan pesakit mental selepas mereka kembali pulih.

“Golongan ini mungkin juga menghadapi halangan meneruskan kehidupan seperti tiada pendapatan, tiada tempat bergantung atau yang berkaitan dengannya setelah mereka pulih.  Sokongan sosial oleh keluarga dan komuniti perlu diberikan bagi membantu mereka meneruskan kehidupan dengan lebih baik dan berjaya. Melalui lawatan ini, kita dapat mengenalpasti beberapa intervensi yang  boleh dibuat dalam menyokong usaha ini,” ujar beliau.

Lawatan Mahabbah ini disambut mesra oleh Pengarah Hospital Bahagia, Dato’ Dr. Norhayati binti Nordin, yang mengalu-alukan kehadiran delegasi. Taklimat ringkas berkaitan pengurusan dan cabaran Hospital Bahagia turut dikongsikan di samping aktiviti lawatan ke kawasan hospital termasuk melawat wad pesakit dan persekitaran hospital.

Turut hadir, Dato’ Ali bin Mohammed, Jawatankuasa Riqab MAIS, Pn. Nurhani Salwa Jamaluddin, Timbalan Setiausaha (Operasi) MAIS, Dr. Nurashikin Ibrahim Ketua Sektor Pakar Perkhidmatan Kesihatan Awam, Dr. Norli Abd Jabbar, Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Ustaz Muhammad Kamarul Nizal Idris, Jakim dan  Ustaz Suhaimi Ismail, Pengarah Pembangunan Sosial MAIS.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor